Filipina tapak pembiakan pengganas, dakwa Salic
MANILA: Seorang suspek Filipina dalam komplot pelampau yang menyasari New York City tetapi berjaya dipatahkan mendakwa negaranya adalah ‘ tapak pembiakan pengganas’, kata Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) Sabtu lepas.
Russell Salic dan dua lagi telah didakwa atas tuduhan terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan dalam nama kumpulan Islamic State (IS) sewaktu Ramadan, bulan suci dalam agama Islam, pada 2016.
Salic dipercayai merupakan doktor bagi kumpulan pelampau kejam itu.
Satu kenyataan Jabatan Keadilan menyebut Salic, 37, memindahkan wang kepada suspek lain bagi operasi berkenaan, dengan menyatakan dia dapat melakukan semua itu dengan selamat dari Filipina tanpa menarik perhatian pihak berkuasa.
Beberapa lokasi termasuk stesen kereta api bawah tanah New York, Times Square dan beberapa tempat konsert dikenal pasti sebagai sasaran dalam komplot itu yang digagalkan oleh ejen FBI yang menyamar, pihak berkuasa AS mengumumkan Jumaat lepas.
Ejen berkenaan menyamar sebagai seorang penyokong IS dan berkomunikasi dengan Salic dan dua orang yang didakwa rakan subahatnya Abdulrahman El Bahnasawy, seorang warga Kanada berusia 19 tahun yang membeli bahan membuat bom, dan Talha Haroon, seorang warga Amerika berusia 19 tahun yang tinggal di Pakistan.
El Bahnasawy memberitahu ejen FBI yang menyamar bahawa Salic adalah penyokong IS yang dipercayai dan pernah menyediakan pembiayaan untuk membantu kumpulan itu pada masa lalu, menurut kenyataan Jabatan Keadilan.
Kenyataan itu memetik mesej yang dihantar oleh Salic kepada orang lain yang terlibat dalam komplot itu di mana dia menggambarkan undang-undang keganasan di Filipina adalah tidak tegas jika dibandingkan dengan negara seperti Australia dan United Kingdom.
“Pengganas dari seluruh dunia biasanya datang ke sini sebagai tapak pembiakan bagi pengganas. hahahaha. Tetapi tiada kebimbangan di sini di Filipina. Mereka tidak peduli tentang IS. Hanya di barat,” ujarnya, menurut kenyataan berkenaan.
Salic ditangkap di Filipina sekitar April 2017, kenyataan itu menyebut.
IamenambahElBahnasawy, yang menurut pihak berkuasa mengaku bersalah atas tuduhan terorisme, ditangkap di New Jersey pada Mei 2016 dan Haroon ditangkap di Pakistan sekitar September 2016.
Ekstradisi Haroon dan Salic ke AS masih menunggu, menurut pendakwa raya. Pegawai Filipina tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan kenyataan.
Pihak berkuasa AS pada Jumaat lepas berkata Salic mengirim “kira-kira AS$423 (RM1,819)”untukmembiayai serangan dan berjanji untuk mengirim wang lagi.
Filipina yang diduduki majoriti Roman Katolik sudah bertahun-tahun menangani pemberontakan bersenjata oleh masyarakat minoriti Muslim di selatan negara itu yang bergolak.
Pelbagai kumpulan militan Muslim secara terbuka menjanjikan taat setia kepada IS pada masa lalu.
Puak militan bersenjata yang mengibarkan bendera hitam IS telah mengepung kota Marawi sejak Mei lalu, mengorbankan sekurangkurangnya 955 orang.
Peperangan itu, yang masih berlarutan walaupun tentera Filipina menggunakan artileri, serangan udara dan bantuan tentera AS, telah memusnahkan kota yang dahulu pesat membangun itu dengan ribuan orang awam yang kehilangan tempat tinggal. — AFP