Utusan Borneo (Sarawak)

DUA DIKHUATIRI LEMAS

Cubaan selamatkan datuk jatuh sungai tidak berjaya, cucu turut dihanyut arus deras.

- Oleh Jeremy Lanson

SIMUNJAN: Cubaan seorang lelaki untuk menyelamat­kan datuknya yang terjatuh ke dalam sungai Batang Sadong iaitu berdekatan Kampung Lubok Punggor di sini, tidak berjaya apabila turut dihanyutka­n arus deras kelmarin.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku apabila mangsa yang hanya dikenali sebagai Kajim berusia 70 tahun menaiki bot dari Kampung Tegelam, di sini untuk menjemput cucunya Kalawin Jefferi, 27 tahun iaitu sekitar jam 6.30 petang Isnin lepas.

Bagaimanap­un, setiba di tempat kejadian, bot yang dinaiki mangsa dikatakan melanggar sebatang kayu menyebabka­n ia terbalik lalu mangsa terjatuh ke dalam sungai tersebut.

"Melihat kejadian tersebut (dari seberang sungai), cucunya (Kalawin) kemudian terus terjun ke dalam sungai bersama seorang rakannya untuk menyelamat­kan mangsa yang terus hanyut dibawa arus deras.

"Cucunya yang tidak berputus asa kemudian meneruskan pencarian menyebabka­n dia turut dihanyutka­n arus deras tersebut," kata sumber yang turut memberitah­u bahawa rakan kepada cucu mangsa berjaya berenang semula ke darat dan kemudian terus meminta bantuan.

Usaha mencari mangsa dan cucunya diteruskan sehingga malam, sebelum penduduk kampung melaporkan kepada pihak polis yang kemudian memaklumka­n kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jurucakap JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.14 malam hari kejadian dan terus melancarka­n operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kekuatan enam anggota serta turut dibantu penduduk kampung.

"Maklumat sehingga jam 3 petang hari ini (semalam), pegawai operasi memaklumka­n bahawa operasi pencarian diperluask­an sehingga empat kilometer ke hulu dan hilir sungai tersebut.

“Arus sungai deras dan terdapat benak di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan anggota SAR belum menemui sebarang petunjuk dan operasi masih diteruskan.

 ??  ?? ARUS DERAS:Sungai di mana kedua-dua mangsa dilaporkan hilang. DI SINI:Lokasi pencarian operasi SAR semalam.
ARUS DERAS:Sungai di mana kedua-dua mangsa dilaporkan hilang. DI SINI:Lokasi pencarian operasi SAR semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia