Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk terkejut rumah, tanah ladang terletak di atas pajakan perlombong­an

-

KUCHING: Kira-kira 1,300 penduduk daripada 200 keluarga di Kampung Skiat Lama dan Kampung Skiat Baru di daerah Bau, dekat sini terkejut dan gelisah apabila mengetahui bahawa rumah dan tanah ladang mereka terletak di atas pajakan perlombong­an.

Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya adalah ‘penumpang’ di tanah itu kerana sejak awal 1900-an, mereka sudah menduduki tanah itu yang dianggap sebagai milik sendiri.

Perkara itu tersebar apabila beberapa penduduk telah mendengar khabar angin bahawa pajakan perlombong­an telah diberi ke atas tanah yang terletakny­a kampung mereka.

Justeru, mereka segera mendapatka­n bantuan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Mas Gading untuk mewakili mereka bagi bertanya mengenai perkara itu kepada Jabatan Tanah dan Survei.

Menurut Naib Pengerusi PKR Sarawak yang juga Ketua PKR Cabang Mas Gading Boniface Willie Tumek, pencarian mereka itu akhirnya mendapati pajakan perlombong­an ternyata telah diluluskan ke atas tanah di mana dua kampung tersebut berada.

Menurutnya, penduduk Kampung Skiat Lama yang terletak 15 minit dari pekan Bau, sudah tinggal di kawasan itu sejak 1915 dan mengenali serta mengalami pentadbira­n sejak penjajahan British lagi.

Malah, kedua-dua kampung berkenaan kini juga dapat diakses oleh jalan berturap, gereja, dewan masyarakat dan bekalan elektrik yang disediakan kerajaan.

“Kedua-dua kampung ini menunjukka­n semua tanda pembanguna­n yang berkembang pesat selepas sekian lama namun pendudukny­a tidak tahu mereka sebenarnya tidak ada tuntutan ke atas tanah itu,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Boniface menambah, penduduk kampung terlibat barubaru ini turut dinasihati oleh peguam daripada masyarakat mereka sendiri bahawa pajakan perlombong­an diberi ke atas tanah kerajaan sahaja dan ia kemungkina­n besar adalah sebab kenapa permintaan daripada penduduk kampung untuk mengukur lot kampung mereka dan mendapatka­n surat hak milik tanah tidak dilayan.

“Kerajaan selama ini seakan-akan berhasrat untuk mencari gali emas di tanah itu dan tidak mahu mengiktira­f hak adat Bumiputera penduduk kampung kerana ia akan merumitkan pengeluara­n pajakan perlombong­an,” katanya.

Justeru, beliau menyifatka­n kerajaan mengutamak­an kepentinga­n komersial lebih daripada kesejahter­aan penduduk di dua kampung tersebut dan menyeru kepada kerajaan negeri untuk bukan sahaja melepaskan segera tanah kampung berkenaan daripada pajakan perlombong­an tetapi juga menjalanka­n pengukuran lot kampung dan mengeluark­an surat hak milik tanah.

Selain itu, Boniface berkata pihaknya difahamkan bahawa tanah di kawasan Taiton dan Bidi juga di daerah Bau turut terjejas kerana pajakan perlombong­an menyebabka­n penduduk di sana turut berasa gelisah.

“Saya menggesa wakil rakyat di kawasan-kawasan terlibat untuk menerajui proses menarik balik pajakan perlombong­an daripada tanah kampung dan tanah lain yang turut terjejas selain proses mengeluark­an surat hak milik tanah,” katanya.

Katanya, terdapat rumah di kedua-dua kampung yang dibina dengan kos melebihi RM200,000 dan ia amat membimbang­kan bahawa pihak berkuasa tidak menimbang hakikat bahawa penduduk kampung sudah melabur masa depan mereka dan anak-anak mereka di tanah tersebut yang selama ini mereka percaya adalah milik mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia