Utusan Borneo (Sarawak)

Peroleh, subahat lebih 800,000 unit saham, suami isteri didakwa

-

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri masing-masing mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 10 pertuduhan memperoleh dan bersubahat berhubung 851,600 unit saham bernilai RM2.2 juta, pada 2006.

Bekas Ketua Ekuiti Maybank Investment, Goh Keng Huat, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam, Hakim Azman Ahmad dan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesepuluh, Goh didakwa memperoleh 851,600 unit saham Road Builder (M) Holdings Berhad melalui akaun Sistem Depositori Pusat milik isterinya, Wee Siew Ling, 45, yang mempunyai maklumat berkaitan cadangan untuk IJM Corporatio­n Berhad mengambil alih syarikat Road Builder dan mengetahui bahawa maklumat itu tidak boleh didapati secara umum kerana dipercayai mempunyai kesan material ke atas nilai atau harga saham tersebut.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini antara 4 Sept dan 16 Okt 2006.

Dia yang memakai baju-T hitam didakwa mengikut Seksyen 89E(2)(a) Akta Perindustr­ian Sekuriti 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 89E(4) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak kurang RM1 juta dan penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wee didakwa bersubahat dengan suaminya, Goh melakukan kesemua kesalahan tersebut pada tempat dan tarikh yang sama.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 122C(c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 89E(4) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak kurang RM1 juta dan penjara sehingga 10 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, V. Shoba dan Pegawai Pendakwa, Ng Chian Huey dari Suruhanjay­a Sekuriti mencadangk­an jaminan masing-masing RM700,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.

“Pihak pendakwaan memohon jaminan dengan jumlah tinggi berikutan kedua-dua tertuduh kini menetap di Melbourne, Australia dan dikhuatiri mereka tidak hadir ke mahkamah kerana mereka baharu sahaja dapat ditangkap dua hari lalu di Singapura selepas waran tangkap dikeluarka­n pada Disember 2015,” kata Shoba.

Bagaimanap­un, peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili pasangan itu merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah selain menguruska­n sebuah kafe di Australia.

Pasangan suami isteri itu dibenarkan diikat jamin masing-masing RM500,000 dengan dua penjamin warganegar­a tempatan dan 6 Dis ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan tersebut.

Sementara itu, akibat memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh yang disimpan di dalam telefon bimbitnya, seorang gelandanga­n semalam dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhka­n hukuman itu terhadap Hasbullah Hassan, 38, yang mengaku bersalah memiliki 13 video dan lapan keping gambar di dalam telefon bimbit miliknya yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Mahkamah memerintah­kan Hasbullah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Jan lepas.

Mohd Sofian berkata, memiliki bahan berkaitan kumpulan Daesh merupakan kesalahan kerana daripada tidak berminat untuk mengambil tahu hal ehwal kumpulan pengganas, akhirnya tertuduh boleh terpengaru­h dan mungkin terjebak untuk menjadi anggota kumpulan berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia