Rahsia jadikan hutan sebagai lubuk lepas gian terbongkar
LAWAS: Kegiatan seorang lelaki menjadikan hutan sebagai lubuk menghisap dadah terbongkar selepas kegiatannya itu berjaya dihidu anggota polis dalam operasi penyalahgunaan dadah di sini petang kelmarin.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) jam 4.30 petang itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, anggotanya terpaksa berjalan kaki terpaksa meredah hutan dan semak sejauh 10 kilometer untuk menjejaki lubuk penagih dadah kawasan hutan Merapok.
“Dalam operasi itu, kita berjaya menahan seorang suspek dari Kampung Masjid Baru Merapok yang berada dalam pengaruh dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas badan suspek terbabit polis juga menjumpai satu bungkusan plastik lutsinar yang di dalamnya terdapat tiga peket besar plastik lutsinar dan satu peket kecil plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu di dalam genggaman tangan kiri suspek,” katanya kepada media semalam.
Abang Zainal berkata, dadah seberat 13.60 gram turut dirampas dari suspek yang berasal dari Kampung Masjid Baru Merapok.
Suspek, katanya, turut positif Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian saringan awal polis yang dilakukan terhadapnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952.