Sarawak hanya respons jadual cuti sekolah 2018 selepas terima kesahihan mengenainya
KUCHING: Sarawak hanya akan memberi respons mengenai jadual cuti pertengahan persekolahan 2018 selepas menerima kesahihan mengenainya daripada Kementerian Pendidikan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau perlu mendapatkan butiran serta pengesahan daripada kementerian sebelum memberi sebarang kenyataan lanjut.
“Saya perlu mendapatkan butiran sebenar sebelum memberi respons dan akan mendapatkan pengesahan daripada kementerian.
“Sebenarnya kita telah memberitahu perkara ini kepada Dato Sri Michael Manyin (Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi) tetapi beliau sekarang masih berada di luar negara.
“Beliau akan meneliti perkara ini bersama kementerian di persekutuan sebaik sahaja pulang nanti,” katanya pada sidang media se- lepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Penerbitan Buku Borneo dan Pameran Buku Borneo anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.
Bagaimanapun Uggah enggan mengulas lanjut sehingga mendapat pengesahan bagi mengelakkan sebarang spekulasi.
Tidak seperti kebiasaannya, cuti penggal persekolahan 2018 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan dilihat tidak meletakkan cuti pertengahan tahun bermula pada awal Jun yang telah menjadi tular di media sosial.
Jadual berkenaan dianggap menindakkan sambutan Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 dan 2 Jun di Sarawak sehingga ramai kalangan Dayak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan rasa tidak puas hati.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan mendapatkan definisi Pe- makai Menoa dan Pulau Galau, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, jawatankuasa kini giat mendapat input daripada semua etnik terlibat.
“Malahan pagi tadi (semalam) saya berada di Sibu melancarkan seminar Iban, saya turut mengalu-alukan pandangan mereka kepada kita bagi definisi yang sesuai bagi Pulau Galau dan Pemakai Menoa.
“Kita menerima banyak cadangan sehingga kini daripada pelbagai pihak dan kebanyakan mereka telah mengadakan perbincangan serta mengemukakan memorandum.
“Memorandum itu sedang kita kaji dan yang pasti kita akan mendapatkan satu definisi bagi Pulau Galau dan Pemakai Menoa,” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa Pemakai Menoa dan Pulau Galau.