KKLW turut fokus program keusahawanan, pendidikan
MIRI: Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak hanya fokus terhadap pembangunan fizikal tetapi menggalakkan program berbentuk keusahawanan dan pendidikan
Timbalan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya turut memperkasa bidang keusahawanan dan pendidikan melalui bajet lalu.
“Karnival Usahahawan Desa (KUD) contohnya telah banyak melahirkan usahawan yang telah menembusi pasaran luar dengan jualan pelbagai produk.
“KKLWamatmenggalakkan penglibatan masyarakat dalam bidang keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan rakyat khasnya di luar bandar,” katanya semasa lawatan kerja ke Rumah Linggi Belaja, Lambir semalam.
Alexander berkata KUD juga telah mengembangkan produk dan perkhidmatan usahawan ke pasaran yang lebih luas dan global.
“Kerajaan amat komited untuk menambah nilai produk mereka ke peringkat global dan KUD ini penting sebagai medium untuk mereka berkembang,” jelasnya.
Karnival dwitahunan KUD kali ini akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 19 Oktober hingga 22 Oktober ini.
Beliau berkata penduduk di Sarawak tidak boleh terlepas peluang ini sebaliknya berusaha mengembangkan ekonomi dengan menceburi bidang usahawan desa.
Menyentuh mengenai bidang pendidikan pula, beliau berkata KKLW juga telah menyediakan banyak peruntukan bagi memperkasakan bidang pendidikan di luar bandar.
Ia termasuk menawarkan kursus dan modul pendidikan baharu di Universiti Kuala Lumpur, Institut Kemahiran MARA dan GIATMARA, tabika dan sebagainya.
Hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang akan mencapai matlamatnya melalui program-program pendidikan di bawah KKLW.
Kementerian itu katanya, turut memohon peruntukan yang besar sempena pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober ini.
Bajet lalu, jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan untuk KKLW ialah RM9.048 bilion iaitu RM3.218 bilion untuk Bajet Mengurus manakala RM5.83 billion untuk Bajet Pembangunan.
“Seperti kementerian lain, kami juga telah memohon peruntukan yang besar pada Bajet 2018 dan berharap lebih banyak projek dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau juga berharap rakyat memahami proses kelulusan peruntukan untuk projek kemudahan asas dan tidak hanya menghentam kerajaan khasnya wakil rakyat.
“Kita telah meluluskan lebih 500 projek kemudahan asas dan tidak semua projek yang dipohon ini diluluskan segera kerana ia bergantung kepada keperluan dan peruntukan.
“Sehubungan itu, rakyat tidak harus menghentam kerajaan khasnya wakil rakyat sekiranya projek yang mereka mohon lambat dilaksanakan,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Sibuti Datuk Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir Ripin Lamat, Tuai Rumah Linggi Belaja serta tetamu kenamaan lain.