‘Kuching International Bike Week 2017’ kembali gegar Kuching
KUCHING: Festival motosikal berkuasa tinggi bertaraf antarabangsa – ‘Kuching International Bike Week’ (KIBW) 2017 kini kembali menggegarkan bandar raya ini pada hujung minggu ini, bermula 13 hingga 15 Oktober berpusat di CityOne Megamall di sini.
Lebih unik, festival edisi kedua ini dijangka disertai kerabat diraja bersama seramai 4,000 ‘bikers’ (penunggang motosikal berkuasa tinggi) tempatan termasuk dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan luar negara seperti United Kingdom, Ukraine, Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, New Zealand, Australia dan banyak lagi.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, antara tarikan festival adalah pertunjukan aksi ‘stunt’ motosikal berkuasa tinggi oleh Aaron Twite serta klinik motosikal bagi mendedahkan ciri-ciri keselamatan penunggangan motosikal di jalan raya.
Selain itu, katanya kios turut dibuka yang mempamerkan dan menjual pelbagai produk serta aksesori motosikal.
“Orang ramai sama ada mempunyai motosikal besar, kecil atau tidak mempunyai motosikal diajak bersama-sama datang bagi melihat sendiri KIBW serta menyaksikan pertunjukan ‘stunt’ oleh Aaron serta acaraacara lain,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dalam pada itu, Karim ber- kata kemuncak festival adalah pada 14 Oktober di mana pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang hari seperti City Ride di mana para ‘bikers’ akan mengelilingi bandar raya ini bermula dari pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sehingga ke Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Pada malam pula akan menyaksikan Malam Gala di Hotel Pullman, yang dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg bersama komuniti ‘bikers’.
Karim berkata majlis ini akan diserikan dengan pertunjukan oleh model-model antara- bangsa seperti dari Ukraine, United Kingdom dan Eropah selain persembahan nyanyian oleh artis terkenal negara yang diundang khas iaitu legenda rock Malaysia, Amy Search dan Ezlynn.
Malah, KIBW kali ini juga menawarkan hadiah cabutan bertuah yang sangat lumayan kepada ‘bikers’ yang mendaftar sebagai Very Important Biker (VIB) serta menghadiri Malam Gala berkenaan, di mana berpeluang memenangi sebuah motosikal baharu Harley Davidson.
KIBW adalah dianjurkan oleh Iron Tiger Bikers Club Kuching serta disokong oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.