Suri rumah rugi RM3,800 ditipu kenalan maya
SIBU: Seorang suri rumah kerugian RM3,800 angkara terlalu teruja dengan nilai dolar AS yang kononnya dikirim seorang kenalan lelaki media sosial September lalu.
Terdahulu, mangsa, 35, menjalinkan hubungan melalui Facebook dengan seorang lelaki asing yang memperkenalkan dirinya sebagai Louise dan kononnya berasal dari Amerika Syarikat (AS).
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zailanni Amit berkata, lelaki berkenaan telah berjanji mengirimkan wang sejumlah AS$150 sebagai hadiah menjadikan mangsa sebagai teman wanitanya.
“Kononnya wang tersebut akan diguna oleh mereka berdua apabila suspek datang ke Sibu kelak,” katanya.
Namun tidak lama kemudian pengadu dimaklumkan bahawa wang tersebut telah disekatkan oleh bank dan dikehendaki membayar caj cukai perkhidmatan sejumlah RM3,800 ke akaun suspek.
Difahamkan pengadu telah membuat bayaran yang diminta oleh suspek namun mula curiga apabila suspek memaksa mangsa untuk menambah bayaran caj perkhidmatan sebanyak RM5,000.
Apabila menyedari dirinya ditipu, mangsa enggan membuat bayaran kedua dan memutuskan untuk membuat laporan polis pada 18 September lalu.
“Kes ini merupakan salah satu daripada contoh bagaimana mudahnya mangsa ditipu angkara terlalu percaya dengan orang asing melalui media sosial,” katanya.
Katanya kes tersebut adalah yang terakhir dilaporkan pada 18 September lalu di mana 13 kes tipu melalui atas talian yang dilaporkan di sini sehingga kini.