UPMKB bina laluan pejalan kaki berbumbung di SK Sungai Tisang
BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) berjaya menganjur projek tanggungjawab sosial korporat ( CSR) membina laluan pejalan kaki berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tisang di sini baru-baru ini.
Simbolik perasmian projek pembinaan di bawah CSR UPMKB untuk SK Sungai Tisang itu telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Pembangunan Taman Universiti) UPMKB Dr Ong Kian Huat.
Hadir menyaksikan perasmiannya Guru Besar SK Sungai Tisang Mohamed Khaidir Mohamed Arebi, Pengarah Ecofit 1.0 Khalid Nawi, Presiden Underground (UGR) Bintulu Felix Entri, murid, guru, wakil penderma korporat, wakil UGR Bintulu dan staf UPMKB.
Dr Ong berkata, pembinaan projek itu merupakan hasil sumbangan dana daripada badan korporat dan individu untuk Eco-Fit Road & Trail Challenge 1.0 pada 12 Mac lepas di UPMKB.
“Tanpa sumbangan itu, projek ini tidak akan dapat dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataannya di sini semalam.
Pada majlis sama turut dilancar Eco- Fit 2.0 yang akan diadakan pada 11 Mac 2018 (Ahad) dengan sasaran untuk mendapat seramai 600 peserta.
Sumbangan program itu juga akan diguna untuk CSR UPM Kampus Bintulu.
Dalam pada itu katanya, projek CSR pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung menghubungkan bangunan bilik darjah dengan kantin sekolah itu
bertujuan menyenangkan murid sekolah terbabit bergerak membeli makanan sekali gus melindungi mereka semasa hari hujan mahupun waktu panas.
Katnya laluan pejalan kaki berbumbung itu adalah sejauh 104 kaki yang menelan kos RM13,000 (tidak termasuk kos buruh).
“Kerja pembinaannya dilakukan selama enam hari dengan melibatkan staf dan pelajar UPMKB, ahli UGR serta guru sekolah SK Sg Tisang,” jelasnya.