Kerajaan negeri perkenal pakej perkhidmatan premium Johor WiFi
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri semalam memperkenalkan pakej premium perkhidmatan Johor WiFi bagi menampung keperluan dan kehendak pengguna Internet di kawasan bandar dan luar bandar negeri ini.
Pakej premium prabayar ini merupakan penambahbaikan kepada perkhidmatan WiFi percuma sedia ada dalam memastikan permintaan rakyat terhadap akses Internet berkelajuan tinggi dipenuhi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad berkata terdapat lebih 600,000 rekod daftar masuk pengguna dicatatkan sejak perkhidmatan WiFi percuma ini diperkenalkan pada tahun 2015.
“Kita menyasarkan sekurang- kurangnya separuh daripada jumlah berkenaan untuk menggunakan perkhidmatan premium ini berdasarkan trend penggunaan internet mereka. Jadi ini merupakan pilihan lain kepada pengguna yang mahukan internet berkelajuan lebih tinggi.
“Perkhidmatan ini terbahagi kepada dua pakej harga iaitu RM5 dan RM10, yang mana pakej RM5 akan mendapat Internet pada kelajuan dua megabit sesaat ( Mbps) untuk tiga hari manakala pakej RM10 juga mendapat kelajuan yang sama selama seminggu tapi tiada had kuota,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Premium Johor WiFi, bersempena Ekspo Johor Berkemajuan di Kota Iskandar, di sini semalam.
Hasni berkata harga yang ditawarkan adalah jauh lebih murah daripada caj bayaran yang dikenakan oleh perkhidmatan telco.
Menurut Hasni, terdapat permintaan supaya kelajuan Internet Johor Free WiFi itu dapat dipertingkatkan selain perluasan kawasan liputan Internet dan ini merupakan penambahbaikan tersebut.
Selain itu, jumlah pencawang WiFi juga akan ditambah secara berkala mengikut permintaan dan kesesuaian lokasi berkenaan.
Sehingga kini terdapat 135 buah pencawang Johor Free WiFi di seluruh negeri yang meliputi kawasan 16 Pihak Berkuasa Tempatan dan 13 Projek Perumahan Rakyat seluruh Johor. — Bernama