Rusia seri 1-1 dengan Iran
MOSCOW, Rusia: Tuan rumah Piala Dunia 2018 seri 1-1 dengan Iran pada perlawanan persahabatan Selasa lepas yang jelas tidak mengenepikan sebarang keraguan tentang keupayaan mereka mencabar pasukan elit di Piala Dunia 2018.
Penyerang Dmitry Poloz dimasukkan dari bangku simpanan untuk mengikat kedudukan selepas Sardar Azmoun membuka jaringan buat Iran pada minit ke-57.
Ia adalah keputusan seri keempat untuk jurulatih Rusia, Stanislas Cherchesov dari 14 perlawanan sejak mengambil alih tugas pada Ogos 2016.
Tanpa sebarang perlawanan kelayakan kerana layak selaku tuan rumah, Rusia terpaksa beraksi pada perlawanan persahabatan – di mana Sabtu lepas, mereka menewaskan Korea Selatan 4-2.
“Selepas rehat, kami kelihatan beraksi lebih baik tetapi kami bolos gol dari satu serangan pantas,” kata Cherchesov.
“Saya gembira dengan reaksi pasukan saya kerana kami bukan hanya mengikat kedudukan tetapi mencipta beberapa peluang gol.
“Sekarang kami perlu menganalisa prestasi kami pada perlawanan menentang Korea Selatan dan Iran untuk mencari penyelesaian yang terbaik.”
Iran, yang sudah mengesahkan kelayakan ke Rusia, mencipta lebih banyak peluang dalam separuh masa kedua.
Alireza Jahanbakhsh melihat tendangan percuma beliau pada minit ke-21 sedikit tinggi melepasi palang gol.
Azmoun, yang bermain untuk kelab di Rusia, Rubin Kazan, mempunyai peluang membuka jaringan lima minit kemudian tetapi tandukan beliau diselamatkan penjaga gol Rusia, Andrei Lunev.
Rusia hanya mempunyai satu peluang sebelum rehat apabila cubaan bola muntah dari Alexander Erokhin tersasar.
Azmoun membuka jaringan apabila menyempurnakan hantaran lintang Mehdi Taremi sebelum Rusia mengikat kedudukan pada minit ke-74 apabila Poloz menyempurnakan umpanan Alexander Samedov.
Rusia meneruskan asakan tetapi penyudah tumpul mengecewakan mereka.
“Ia perlawanan yang baik dan juga pengajaran berguna untuk kami,” kata jurulatih Iran, Carlos Queiroz. — AFP