Karl Agan tulis buku frasa Kelabit
BERKOMUNIKASI dalam bahasa Kelabit kini lebih mudah apabila sebuah buku frasa Kelabit dicipta seorang penulis muda, Karl Agan.
Menurut Karl, penciptaan buku frasa ini akan menyenangkan pelancong yang tidak fasih berbahasa Kelabit untuk berkomunikasi dengan masyarakat di Tanah Tinggi Bario.
“Penghasilan buku ini mengambil masa sebulan di mana saya menyediakan perkataan dalam bahasa Inggeris sebelum menyerahkan manuskrip tersebut kepada seorang penduduk Bario menterjemahkannya dalam bahasa Kelabit.
“Perkataan ada dalam buku ini hanya frasa yang mudah dan biasa digunakan dalam berkomuni- kasi seharian,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semasa Pesta Nukenen 2017 baru-baru ini.
Katanya, selepas frasa tadi diterjemah, beliau kemudiannya menjalankan percetakan dan seterusnya dijadikan sebuah buku.
“Buku Frasa Kelabit ini mula diterbitkan cetakan pertamanya pada tahun 2015 dengan memperkenalkan buku berkulit keras.
“Tahun ini saya mengeluarkan edisi kedua buku ini namun kali ini dikeluarkan dengan berkulit lembut bertujuan bagi memudahkan pembaca untuk membawanya di dalam beg,” katanya.
Karl yang merupakan penulis buku sepenuh masa juga menjual bukubuku nukilan beliau secara atas talian.
Ditanya mengenai penjualan buku antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia, beliau berkata, industri buku di negeri ini masih tidak mendapat permintaan tinggi berbanding dengan mereka di Kuala Lumpur.
“Di Kuala Lumpur, setiap minggu, setiap bulan akan ada acara berkaitan dengan pameran dan penjualan buku.
“Berbeza dengan kita di Sarawak yang memang jarang dianjurkan acara seumpama itu menyebabkan kami sebagai peniaga buku indie kurang mendapat keuntungan yang lumayan,” katanya.
Karl memberitahu ada juga permintaan dari pembaca untuknya menghasilkan buku secara e-book iaitu dalam talian dan tidak perlu dicetak.
“Namun buat masa sekarang saya lebih gemar mencetak buku, kerana permintaan untuk buku masih lagi ada.
“Tidak semua menggemari penggunaan ebook, masih ada suka memegang buku dapat disentuh dan dilihat depan mata,” katanya.
Karl merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda BioPerubatan dari Management Science University (MSU) Shah Alam.
Harga sebuah buku frasa Kelabit ialah RM12 manakala buku-buku bacaan lain dijual antara RM20 hingga RM50.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan buku frasa Kelabit mahupun buku-buku lain nukilan Karl, boleh layari laman sosial Twitter dan Instagram La Lectrice Borneo atau menghubungi di talian 013-8354560 dan juga boleh e-mel ke lalectriceborneo@gmail.com.