Treler baharu ‘Star Wars’ bayangan tentang nasib
LUCASFILM menayangkan treler keduanya yang amat dinanti-nantikan bagi ‘Star Wars: The Last Jedi’ pada Isnin lepas, yang membayangkan waktu gelap yang akan dihadapi oleh kumpulan pemberontak ‘The Resistance’ dan malah mungkin penghujung bagi Puteri Leia.
Rakaman dari filem kelapan dalam opera angkasa blockbuster itu, yang dijadual dikeluarkan pada 15 Disember, ditunjukkan sewaktu pertunjukan waktu rehat Monday Night Football di saluran ESPN.
Klip selama 154 saat itu menyusuli treler yang dikeluarkan pada April lalu yang menunjukkan Luke Skywalker (Mark Hamill) mengajar Rey tentang cara-cara ‘The Force’.
Pada kali ini, lebih banyak jalan cerita didedahkan, dengan Luke yang memberitahu Rey (Daisy Ridley) bahawa dia pernah melihat kuasa seperti kuasa Rey hanya sekali sahaja sebelum itu – dan walaupun ia tidak cukup menakutkannya ketika itu, ia menakutkannya sekarang.
Peminat membuat spekulasi dalam media sosial bahawa Luke mungkin bercakap mengenai anak saudara lelakinya yang juga musuh utama Rey, Kylo Ren, yang kelihatan dalam sebuah pesawat pejuang TIE sedang mengacu senjata ke arah ibunya Jeneral Leia Organa, dengan matanya yang bergenangan air mata ketika dia bersiap sedia untuk melepaskan tembakan.
Carrie Fisher – yang membawa watak itu sejak dia dikenali hanya sebagai Puteri Leia dalam trilogi asal pada 1977-88 – meninggal dunia pada Disember lalu, selepas dia menyiapkan adegan- adegannya untuk ‘The Last Jedi’.
Ketua Lucasfilm Kathleen Kennedy menyatakan Fisher tidak akan muncul dalam episod kesembilan yang belum lagi diberi tajuk, yang dijangka dikeluarkan pada 2019 – dan ini mendorong segelintir pemerhati untuk merumuskan bahawa treler baharu menunjukkan saat-saat terakhirnya.
Dalam adegan lain, Poe Dameron dan Finn ditunjukkan berperang dengan First Order yang jahat dan kemudian ada imbasan Rey, yang kelihatan seperti seorang tahanan Pemimpin Tertinggi Snoke, yang meminta Kylo untuk “tunjukkan kepada saya kedudukan saya dalam semua ini” apabila – mengejutkan, menyeramkan – Kylo menghulurkan tangannya kepada Rey.
Pemasaran yang berkisar sekitar filem itu ternyata penuh kontroversi, dan pengarah Rian Johnson (‘Looper’, ‘Brick’) baru-baru ini memberi amaran kepada peminat menerusi Twitter bahawa mereka yang mahu pergi ke pawagam dalam keadaan ‘bersih’ harus “mengelak sepenuhnya” daripada menonton klip baharu itu.
Bagaimanapun dia kelihatan seperti sudah melembutkan pendiriannya pada waktu rakaman itu ditunjukkan, dan tweet: “LUPAKAN SEGALANYA YANG SAYA SEBUT DAN TONTONLAH TONTONLAH TONTONLAH.” - ‘Takjub’ -
Ia mempunyai hampir setengah juta tontonan dan lebih 21,000 komen dalam YouTube dalam masa dua jam selepas ia dipaparkan, dan #TheLastJedi pantas menjadi hashtag trending utama di seluruh dunia dalam Twitter.
Reaksi di kalangan pengkritik ternyata teruja, dengan Ryan Parker, seorang penulis filem bagi akhbar The Hollywood Reporter, yang menyatakan dia “takjub”.
“Saya rasa saya tidak pernah begitu beria-ia sangat mengenai sebuah filem ‘Star Wars’ seperti sekarang. Ia adalah adunan yang sempurna bagi segalanya yang saya harapkan,” katanya.
“Kita melihat Luke dengan lebih kerap, tetapi tidak terlalu kerap, melihat Leia dalam beberapa adegan yang benar-benar melukakan hati saya dan lebih banyak pemahaman mengenai hala tuju semua ini.”
Bagi Sean Collins dari majalah Rolling Stone, “pembayang mengenai perubahan perhatian daripada Rey dengan adegan memecah tembok keempat yang suram itu oleh puteri pahlawan lakonan Carrie Fisher di ambang kematian, dalam tangan anak lelakinya sendiri” meramalkan sebuah filem yang kuat dalam sisi gelap ‘The Force’.
‘The Last Jedi’ – yang mengadakan penggambaran di pantai barat Ireland dan di Pinewood Studios dekat London – menyaksikan kepulangan watak-watak yang diperkenalkan dalam filem ketujuh pada 2015.
Ketika dia memperkenalkan barisan pelakon di satu acara peminat pada awal tahun ini, Johnson memperkenalkan seorang bintang baharu, Kelly Marie Tran, yang membawa watak Rose, seorang pekerja penyelenggaraan yang merupakan anggota ‘The Resistance’.
Aktres itu memberitahu, dia telah memberitahu keluarganya bahawa dia membuat “sebuah filem ‘indie’ di Kanada” – kerana kerahsiaan yang menyelubungi filem itu.
Hamill tweet pada Isnin lepas bahawa dia memecut ke rumah untuk menonton treler tersebut tetapi memberitahu peminat bahawa dia “tidak pasti sama ada saya dapat melakukan Larian Kessel dalam masa 12 parsaat!!!” – yang merujuk kepada satu ayat yang terkenal dari filem asal “Star Wars”. — AFP