KIDB persiapkan usahawan Bumiputera hadapi industri digital
KUALA LUMPUR: Konvensyen Industri Digital Bumiputera (KIDB) yang akan diadakan pada 16 Oktober ini disasarkan menjadi platform kepada peniaga dan usahawan Bumiputera untuk melengkapkan diri dengan pelbagai persediaan bagi menghadapi dunia industri digital.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata, konvensyen sehari itu akan memberikan penerangan mengenai peluang keusahawaan dan pekerjaan dalam industri digital kepada para peserta.
“Walaupun sekarang ini cuma 5.6 peratus sumbangan industri digital kepada Keluaran Negara Kasar (KDNK), tetapi industri ini tumbuh dengan pesat dan kita lihat masyarakat dan perniagaan Bumiputera mempunyai masalah untuk mengejar tahap pembangunan industri yang pesat ini.
“Jadi dengan adanya penerangan dan pencerahan ini, mereka akan dapat melihat peluang baharu dan juga untuk membincangkan masalah dan tahap penglibatan Bumiputera, selain mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas sempena penganjuran KIDB itu.
Konvensyen yang bakal dihadiri 500 peserta itu merupakan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Komuni- kasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Abdul Rahim berkata, antara acara yang akan berlangsung sepanjang konvensyen itu termasuk sesi penerangan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia ( MDEC) bertajuk ‘Industri Digital dan Penglibatan Bumiputera’ dan sesi bengkel bertajuk ‘Zon Perdagangan Bebas Digital’ dan ‘ Pengimportan, Pemborongan dan Peruncitan Digital’.
“Menerusi sesi penerangan dan bengkel ini, kita juga nak melihat peranan, usaha serta strategi KKMM dan SKMM untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri digital seterusnya dapat menangani kadar perniagaan Bumiputera yang dilihat masih tertinggal ke belakang,” katanya.
Pada akhir konvensyen itu, Abdul Rahim berkata beliau akan menyerahkan satu resolusi kepada Menteri KKMM Datuk Seri Salleh Said Keruak yang akan mempengerusikan penutup KIDB.
“Saya harapkan resolusi penting ini dapat diangkat kepada tahap lebih tinggi iaitu ke Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan mana yang sesuai itu akan dijadikan landasan untuk membina dasar-dasar dan aktiviti yang sesuai bagi memperkasakan lagi penyertaan Bumiputera dalam industri digital ini,” katanya. — Bernama