12 tokoh dilantik anggotai panel penasihat Permata Insan USIM
SEREMBAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah antara 12 tokoh yang dilantik menganggotai panel penasihat Permata Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.
Selain daripada Asyraf Wajdi, Perunding Kanan di Jabatan Perdana Menteri Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Abdullah Muhammad Zin turut tersenarai menganggotai panel penasihat Permata Insan USIM.
Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan di sini, semalam berkata selain ketiga mereka, turut dilantik ialah Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Yusof Othman, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad, Prof Mohammed Belaiche (Universiti Ecole Normale Superieure (ENS), Maghribi) dan Dr Basil Mustafa (Oxford Centre for Islamic Studies).
Turut menganggotainya ialah Prof Dr Dawood Abdulmalek Yahya Al Hidabi (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Hamza Yusuf (Zaytuna College, Amerika Syarikat), Prof Francoys Gagne (Canada), Dr Mariam A. Alghawi (penerima anugerah Hamdan Bin Rashid Al Maktoum, Emiriah Arab Bersatu) dan Prof Kosugi Yasushi (Universiti Kyoto, Jepun).
Menurut kenyataan itu, anggota panel penasihat ini dilantik adalah sebagai sebahagian usaha memperkasakan program Permata Insan ke tahap pendidikan lestari dengan menilai, menasihat dan menambah baik perjalanan program yang sedia ada.
Kesemua mereka bagaimanapun dijadualkan akan menghadiri mesyuarat panel penasihat antarabangsa Permata Insan buat kali pertama yang akan dipengerusikan sendiri oleh penaungnya yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Kolej Permata USIM, semalam.
“Mesyuarat ini akan membincangkan secara mendalam aspek falsafah pendidikan, kurikulum dan strategi pengantarabangsaan program Permata Insan. Ia juga wadah bagi ahli panel mengiktiraf pendidikan pintar berbakat Islam dan mengangkat taraf program Permata Insan ke peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut, perkara lain yang dijangka akan dibincangkan ialah strategi mendepani cabaran arus perdana pendidikan masa hadapan serta menerokai jalinan strategik Permata Insan bersama institusi pendidikan dan universiti di luar negara yang ternama.
“Ia juga bertujuan untuk membuka ruang kerjasama Permata Insan untuk melaksanakan pelbagai program melibatkan pelajar dan tenaga pendidiknya berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan integrasi ilmu Naqli dan Aqli,” katanya.
Katanya, mesyuarat itu juga dijangka akan diadakan dua tahun sekali.
Permata Insan merupakan kesinambungan daripada program Permata Pintar yang dibangunkan di bawah inisiatif kerajaan bagi menyediakan pendidikan berkualiti bagi anak-anak yang mempunyai tahap kecemerlangan mental yang tinggi untuk diberikan pendedahan dalam bidang akademik yang diintegrasikan dengan ilmu pengajian Islam bagi melahirkan cendekiawan Islam.
Program Permata Insan USIM dilancarkan pada 12 Mac 2010 oleh Rosmah manakala Kompleks Permata Insan USIM dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 April 2016.
Program Permata mempunyai enam program utama iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja, dan Permata Kurnia. — Bernama