Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan merancang pelbagai projek untuk memulihkan sekolah daif di seluruh Sarawak

-

MARUDI: Kerajaan negeri ketika ini dalam usahanya merancang pelbagai projek pemulihan bagi sekolah daif di seluruh negeri bertujuan menaik taraf kemudahan dan kualiti pembelajar­an.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri ( DUN) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg telah melulus peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk projek pemulihan sekolah daif.

“Ini bagi memastikan usaha kita mahu meningkatk­an kualiti dan prestasi pelajar termasuk graduan universiti turut tercapai, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk terus membangunk­an negeri kita sebagai negeri maju pada 2030 kelak,” katanya.

Gerawat memberitah­u demikian semasa berucap pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlan­gan (HAK) 2017 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Charles Balan Seling, pada majlis perasmian di Dewan Sri Perkasa.

Mengenai transforma­si ekonomi ke arah ekonomi digital seperti yang ditekankan dan dimahukan oleh Ketua Menteri, Gerawat berkata sudah tiba masanya untuk pelajar dan guru memberi tumpuan khas kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik atau STEM, kerana penguasan seubjek-subjek ini dapat menentukan kejayaan pelajar sebagai pekerja atau peniaga dalam dunia teknologi digital.

Dalam perkembang­an berkaitan, Gerawat menambah kata bahawa keupayaan murid menguasai bahasa Inggeris amat penting, kerana ia adalah bahasa yang diguna di kebanyakan negara maju di dunia.

“Perhubunga­n dan urusan perdaganga­n antarabang­sa adalah dalam bahasa Inggeris.

“Justeru, saya minta pihak guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mengajukan kepada saya program atau pelan untuk meningkatk­an penguasaan subjek Bahasa Inggeris di sekolah.

“Jika pelan atau program itu dapat dilaksana dan berkesan saya akan beri bantuan untuk menjayakan pelan atau program tersebut,” ujarnya.

Pada majlis sama Gerawat turut mengumumka­n insentif untuk sekolah tersebut yang berupa peruntukan sebanyak RM10,000 sebagai hadiah bagi SMK Telang Usan kerana mencapai kecemerlan­gan pada 2017.

Charles turut mengumumka­n geran projek kecil luar bandar ( MRP) berjumlah RM10,000 untuk PIBG SMK Telang Usan, juga daripada Gerawat.

Turut hadir Pengetua Sekolah Abdul Rahman Abdullah @ Nicholas Kanyan serta Pengerusi PIBG Sekolah Chong Tze Kiat.

Sementara itu Stephanie Janin diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Akademik Terbaik dan Roger Lalo Peterus sebagai Kelas KK Terbaik dan Ong Ka Lina sebagai penerima Anugerah Lonjakan Saujana Terbaik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia