Utusan Borneo (Sarawak)

Jenazah Syzlin dijangka tiba dari Peru Selasa ini

-

JOHOR BAHRU: Jenazah Syzlin Hataman, warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabang­sa dan pernah dipenjara di Peru dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa ini.

Syzlin, 43, meninggal dunia di Hospital Nacional dos de Mayo, Lima pada 6.50 petang waktu Peru (7.50 pagi waktu Malaysia) pada 7 Okt lepas kerana komplikasi beberapa penyakit.

Dia yang berasal dari Johor dipenjara dan terkandas di negara itu sejak lapan tahun lalu turut menghidap asma dan kencing manis.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jenazah dijangka tiba menerusi penerbanga­n KLM pada petang Selasa sebelum dibawa ke Masjid Tun Hussien Onn, Larkin untuk disembahya­ng dan dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh.

“Kita doakan segala perancanga­n pengurusan jenazah dan penghantar­an pulang dalam tempoh dua minggu ini dapat diselesaik­an. Ketika ini jenazah Allahyarha­m Syzlin sedang diuruskan oleh wakil kedutaan kita di Peru termasuk dimandikan dan diawet sebelum menaiki pesawat.

“BiKUM mengucapka­n terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan penghantar­an jenazah termasuk Wisma Putra, Badan Perhubunga­n UMNO Johor dan UMNO Bahagian Johor Bahru walaupun urusannya agak rumit,” katanya kepada pemberita

Beliau bertemu ibu saudara Syzlin, Robiah Abdullah di Larkin Jaya yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Biro Kebajikan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru, Faridah Mustafa.

Shamsul Anuar berkata pada peringkat awal, penghantar­an jenazah Syzlin mahu dilakukan dengan menggunaka­n kapal laut, namun selepas perbincang­an ia ditukar kepada penggunaan kapal terbang supaya perjalanan­nya lebih cepat.

Beliau berkata, segala kos pengurusan jenazah termasuk permit sudah dijelaskan dengan kesemuanya ditanggung oleh BiKUM dan dibantu Badan Perhubunga­n UMNO Johor serta UMNO Bahagian Johor Bahru.

“Apa yang penting semua pihak perlu maklum bahawa Allahyarha­m Syzlin yang menghidap asma dan kencing manis merupakan mangsa sindiket pengedaran dadah dan kejadian menimpa Allahyarha­m perlu dijadikan iktibar semua rakyat bagi mengelakka­n daripada menerima nasib sama.

“Saya bersyukur dengan penglibata­n semua pihak. Ini merupakan tanggungja­wab yang perlu kita lakukan. Kita penuhi hajat Allahyarha­m, ibu saudara dan keluargany­a untuk membawa pulang Allahyarha­m ke tanah air,” katanya.

Mengenai dua lagi rakyat Malaysia yang turut terkandas di Peru iaitu Noor Suzanna Azmi, 35, dan Noor Aziman Sapie, 37, Shamsul Anuar berkata urusan membawa pulang kedua-duanya akan dilakukan selepas urusan pengkebumi­an jenazah Syzlin selesai.

“Kalau hendak bawa balik kedua-duanya memang mudah dan bila-bila masa boleh dilakukan, tetapi oleh kerana hendak bawa balik suami dan anak-anak mereka yang bukan rakyat Malaysia, kena ada proses dokumentas­i dan peraturan kerajaan Peru.

“Salah seorang daripada mereka ada anak daripada bekas suami yang masih dalam tahanan penjara. Kita perlu kebenaran dan sebagainya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia