Sukan agenda penting negara maju dan sihat
SIBU: Kerajaan mengambil langkah bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada negara sukan dengan mengisytiharkan Hari Sukan Negara (HSN) pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King berkata, sebagai menuju sebuah negara maju, agenda sukan sangat penting.
“Hal ini penting memandangkan peratusan masyarakat Malaysia aktif bersukan masih rendah berbanding negara maju lain.
“HSN dijadikan agenda nasional selari matlamat negara ke arah Wawasan 2020,” katanya berucap menyempurnakan majlis pelancaran HSN peringkat bahagian Sibu di pekarangan Stadium Tertutup Bukit Lima di sini, semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu Kaya Raju, Temenggung Stanley Gramong serta jemputan yang lain.
Tiong juga Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menjelaskan lagi bahawa sambutan HSN ialah suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana program ini satu langkah proaktif bagi menjadikan Malaysia sebagai negara mempunyai rakyat sentiasa bersukan sehingga menjadi satu budaya hidup.
Menurutnya, kerajaan berhasrat bukan sahaja menggalak budaya bersukan tetapi menitikberatkan penglibatan bersama dalam aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat antara satu sama lain tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
Fenomena ini juga, ujarnya, amat signifikan untuk memupuk semangat perpaduan berbilang kaum di negara ini.
“Banyak manfaat dan kebaikan melalui HSN ini. Dengan gaya hidup sihat bersukan juga dapat mengatasi obesit rakyat negara ini yang menjadi penyebab penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
“Jadi ini akan membantu kita untuk menurunkan kadar penyakit tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya lagi sambil menambah aktiviti bersukan membantu mengekalkan kesihatan dan kecergasan badan.