Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat lelaki dengan kesan kelar ditemui di Tasek Gelugor

-

TASEK GELUGOR: Mayat seorang lelaki dengan kesan kelar pada leher dan tetakan di kaki ditemui di kawasan semak berhampira­n sungai di Sungai Jarai, Kampung Paya Tok Akil di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Nor berkata mayat tanpa identiti, dianggarka­n berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun, yang lengkap berpakaian kemeja-T warna biru dan berseluar jeans itu ditemui kira-kira jam 7.30 pagi.

“Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam semak di situ oleh seorang penduduk yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumka­n kepada pihak polis.

Kami percaya lelaki itu baharu sahaja dibunuh berdasarka­n keadaan mayat dan darah yang masih segar di badan mangsa,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata polis juga tidak menolak kemungkina­n lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan itu kerana tiada kesan pergelutan dan senjata atau bahan bukti ditemukan di situ.

“Mangsa dipercayai rakyat tempatan berdasarka­n suntikan BCG di lengannya, namun polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersama lelaki itu,” katanya dan menurutnya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Katanya polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dan menurutnya orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau kenalan diminta tampil atau menghubung­i manamana balai polis untuk tujuan pengecaman mayat mangsa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia