Utusan Borneo (Sarawak)

Bunuh penyu: Dua nelayan dipenjara empat tahun, denda RM150, 000

-

TAWAU: Dua nelayan warga asing dihukum penjara empat tahun dan denda RM150, 000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memiliki hampir 100kg cengkerang dan bahagian lain spesis Penyu Hijau secara haram.

Berdasarka­n Seksyen 1 Jadual 1 Enakmen Pemelihara­an Hidupan Liar (EPHL) 1997, Penyu Hijau salah satu spesies yang disenaraik­an dan dilindungi sepenuhnya di Sabah.

Hakim Indra Ayub membuat keputusan itu terhadap Adam Ilma, 30, dan Gunak Sinduk, 20, yang mengaku bersalah memiliki 97kg cengkerang dan bahagian lain penyu di Pulau Ligitan, Semporna kira-kira jam 11 pagi, pada 7 Oktober.

Kedua-dua tertuduh yang disabit bersalah, turut diarahkan menjalani hukuman penjara tambahan selama satu tahun jika gagal melunaskan hukuman denda masingmasi­ng.

Malah, mahkamah turut memerintah­kan supaya kedua-dua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Adam dan Gunak ditahan mengikut Seksyen 41 ( 1) EPHL 1997 dan dihukum menerusi Seksyen 41 ( 4) EPHL 2017 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda antara RM50, 000 hingga RM250, 000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari lima tahun.

Fakta kes menunjukka­n kedua-dua mereka ditahan sepasukan 12 pegawai dan kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dalam Operasi Membantera­s Jenayah Penyu di Ligitan.

Turut ditemui, cengkerang dan bahagian lain spesies itu selain pisau, batu tajam dan tong dram (dibahagi dua) sebelum dibawa ke JHL Tawau untuk siasatan lanjut.

Ketika prosiding berlangsun­g, pertuduhan kes kepada Adam dan Gunak dibacakan oleh penterjema­h mahkamah dalam bahasa Bajau, atas permintaan kedua-dua tertuduh.

Semasa diberikan peluang untuk merayu diringanka­n hukuman, Adam memberitah­u mahkamah bahawa dirinya tidak ada duit dan mempunyai tanggungan tiga anak.

Manakala, Gunak pula merayu mahkamah meringanka­n hukuman terhadap dirinya kerana keadaan hidupnya susah dan tidak berduit, serta amat merindukan ibunya.

Pegawai Pendakwa JHL Abdul Karim Dakog memohon mahkamah memberikan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh akibat melakukan kesalahan serius.

“Spesies Penyu Hijau dilindungi sepenuhnya kerana kadar kepupusan spesies ini yang semakin tinggi disebabkan oleh kadar pembunuhan penyu yang semakin berleluasa.

“Seperti yang dilaporkan di akhbar baru- baru ini, jika perbuatan sebegini tidak dibendung, kita khuatir spesies Penyu Hijau akan pupus dengan lebih cepat,” katanya.

Abdul Karim berkata kesalahan alam sekitar yang serius antara faktor hukuman berat perlu dikenakan, malah kes pembunuhan penyu mendapat perhatian awam dari dalam dan luar negara.

Hujahnya lagi, kes itu melibatkan spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah dan hukuman berat boleh menjadi pengajaran kepada yang lain supaya tidak mengikut perbuatan terbabit.

“Kes ini juga salah satu daripada kes-kes pembunuhan yang terbesar di Sabah setakat ini kerana membabitka­n hampir 100kg cengkerang dan bahagian lain penyu,” katanya.

Semasa membacakan penghakima­nnya, hakim berkata keputusan yang diambil mengambil kira segala hujah termasuk pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh.

“Keputusan juga dibuat berdasarka­n fakta kes, rayuan kedua-dua tertuduh, kepentinga­n awam, dan status Penyu Hijau sebagai spesies yang dilindungi mengikut EPHL 1997.

“Mahkamah sangat prihatin terhadap alam sekitar dan perlindung­an haiwan yang dilindungi, dan ini satu kesalahan serius terhadap keselamata­n alam sekitar.

“Hukuman ini dijatuhkan untuk memberikan isyarat kepada orang awam ( jangan membunuh penyu) dan kedua-dua tertuduh terhadap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Dalam perkembang­an berkaitan, mahkamah turut memerintah­kan kesemua barang rampasan diserah kepada JHL untuk dilupuskan, mengikut peruntukan Seksyen 91 EPHL 1997.

 ??  ?? PENGAJARAN: Adam (dua kanan) dan Gunak (dua kiri) dikawal oleh pegawai JHL bertugas.
PENGAJARAN: Adam (dua kanan) dan Gunak (dua kiri) dikawal oleh pegawai JHL bertugas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia