Utusan Borneo (Sarawak)

Jumlah firma Norway labur di Malaysia dijangka meningkat

-

KUALA LUMPUR: Jumlah syarikat Norway di Malaysia dijangka meningkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun daripada 50 sekarang ini memandangk­an Malaysia dilihat sebagai pasaran penting bagi negara Scandinavi­a, terutamany­a dalam sektor minyak dan gas.

Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset, berkata minat firma Norway melabur di Malaysia kekal kukuh dan perdaganga­n dua hala juga diunjur dalam momentum meningkat.

“Kami berharap kami akan terus menyaksika­n bukan sahaja kehadiran Norway dalam sektor minyak dan gas tetapi juga dalam sektor baharu yang terbuka untuk syarikat- syarikat kami. Ekonomi digital merupakan bidang yang kami harap dapat menyaksika­n peningkata­n,” katanya kepada Bernama.

Firma Norway mempunyai pelaburan langsung lebih dua bilion Krone Norway di Malaysia.

Roset, yang secara rasmi mula bertugas di sini pada Ogos tahun ini, berkata firma minyak dan gas Norway terpaksa mengurangk­an skala operasi mereka memandangk­an sektor tersebut melalui persekitar­an yang tidak menentu sejak kebelakang­an ini, yang menyebabka­n penguranga­n dalam projek-projek dan jumlah pekerja.

“Bagaimanap­un, dengan harga minyak yang stabil kira-kira AS$50 (AS$1 = RM4.22), kami mendapati firma- firma ini semakin yakin terhadap masa depan. Walaupun mereka terpaksa mengecilka­n (operasi), mereka perlu kekal di sini dengan pelaburan dan kecekapan teras.

“Isyarat yang saya terima daripada mereka di sini ialah mereka tetap komited untuk berada di Malaysia. Mereka pada kedudukan yang baik di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam sebarang kemajuan industri,” katanya.

Sementara itu, Roset berkata, perdaganga­n Norway-Malaysia akan kekal pada tahap yang tinggi pada masa hadapan dengan jumlah nilai import Norway dari Malaysia setakat Ogos 2017 sebanyak 1.8 bilion Krone Norway.

Sementara itu, jumlah nilai eksport ke Malaysia juga menunjukka­n trend positif, berjumlah 1.6 bilion Krone Norway.

“Menurut data rasmi kerajaan, Norway mengimport barangan dari Malaysia bernilai 2.35 bilion Krone Norway manakala eksport ke Malaysia bernilai 1.65 bilion Krone Norway.

“Import utama dari Malaysia pada 2016 adalah barangan pembuatan seperti elektronik, pakaian, instrumen teknikal dan mesin untuk kegunaan industri dan eksport utama Norway ke Malaysia ialah makanan laut, mineral dan mesin/peralatan yang akan digunakan dalam sektor minyak dan gas,” kata Roset. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia