Utusan Borneo (Sarawak)

Maybank Islamic raih Anugerah Institusi Kewangan Islam Dunia Terbaik 2017

-

KUALA LUMPUR: Bank Islam terbesar di Malaysia dan ASEAN dari segi aset keseluruha­n, Maybank Islamic Bhd, muncul sebagai Institusi Kewangan Islam Dunia Terbaik di Anugerah Global Finance yang berlangsun­g di Washington DC baru-baru ini.

Ia juga diiktiraf sebagai Bank Sukuk Dunia Terbaik dan Penyedia Pelaburan Jangka Pendek Patuh Syariah Dunia Terbaik, masing-masing merupakan kemenangan kedua berturut- turut bagi kategori yang sama, menurut kenyataan bank itu yang dikeluarka­n di sini, kelmarin.

Maybank Islamic turut dinamakan sebagai Institusi Kewangan Islam Terbaik di Asia Pasifik selain meraihanug­erah negara bagi Malaysia dan Singapura.

Ketua Perbankan Islam Maybank Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican mewakili institusi itu menerima anugerah tersebut dalam satu majlis yang diadakan semasa Mesyuarat Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF)/Bank Dunia pada 14 Okt, 2017.

“Kami berbangga dan gembira diiktiraf sebagai Institusi Kewangan Islam Terbaik Dunia, selepas memenangi anugerah terbaik di Asia Pasifik sebanyak empat kali sejak 2012 – pengiktira­fan untuk komitmen dan keupayaan yang ditunjukka­n oleh Maybank Group dan Maybank Islamic dalam mencapai aspirasi kepimpinan perbankan Islam dunia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Maybank Islamic turut memenangi anugerah Institusi Kewangan Islam Terbaik di Malaysia bagi enam tahun berturut- turut sejak 2012 dan empat kali dipilih sebagai terbaik di Singapura oleh Global Finance, rakan media rasmi Mesyuarat Tahunan IMF-Bank Dunia 2017. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia