Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki berdepan tuduhan curi, khianat

-

MIRI: Seorang lelaki kurang siuman didenda RM4,500 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan mencuri dan melakukan khianat.

Ling Ten Sung, 40, dari Jalan Pujut 2B di sini telah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan khianat dengan memecahkan cermin hadapan sebuah van kepunyaan syarikat Computlink Security Solution Sdn Bhd yang dibawah jagaan Yong Ka Huan hingga menyebabka­n kerugian RM700.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.53 pagi, 31 Julai lalu di hadapan premis Opi De Beauty Pusat Komersil Boulevard di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah meja taman bernilai RM899 kepunyaan Sin Siang Hai Trading Sdn Bhd dan di bawah jagaan Yapp Ming Wei.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.08 pagi, 31 Julai lalu di kedai Sin Siang Hai Trading Sdn Bhd, Lorong 10 Krokop di sini.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM2,000 atau lima bulan penjara dan denda RM2,500 atau dua bulan penjara.

Terdahulu, tertuduh yang mengalami masalah mental telah dirujuk ke hospital mental untuk menjalani pengawasan dan disahkan oleh doktor bahawa tertuduh layak menghadapi pertuduhan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia