Utusan Borneo (Sarawak)

Pakar, pengamal psikologi, kaunseling digesa seiring perubahan era digital

-

KUCHING: Pakar dan pengamal bidang psikologi dan kaunseling digesa tidak bersifat pegun sebaliknya bergerak seiring dengan perubahan era digital semasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata perkembang­an digital dan gajet kini pesat membangun sekali gus memaksa bidang itu berada sejajar dengan tuntutan zaman.

Dengan inisiatif tersebut, katanya bidang psikologi dan kaunseling akan terus relevan dalam pengurusan sumber manusia dalam era digital.

“Mengambil contoh evolusi dalam ujian psikologi telah banyak menggunaka­n kemudahan teknologi maklumat (IT) dan terkini, kaedah digital seperti Q-Interactiv­e.

“Peningkata­n penggunaan alat ujian psikologi dalam bidang sumber manusia ketika ini menunjukka­n sinergi penting dalam kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Penutupan Rasmi Hari Psikologi dan Kaunseling Perkhidmat­an Awam Negeri Sarawak (PANS) 2017 di sebuah hotel terkenal di sini, semalam.

Teks ucapan Morshidi dibaca Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr Sabariah Putit yang mewakili beliau pada majlis tersebut.

Hadir sama, Pengarah Unit Sumber Manusia Datuk William Patrick Nyigor.

Menurutnya, kajian tentang terapi pengurusan kemarahan telah menemui bahawa pendekatan tradisiona­l dan digital masing-masing memberi kesan yang positif.

Morshidi berkata meskipun pendekatan itu belum lagi diguna pakai dalam perkhidmat­an awam Sarawak, namun Bahagian Sokongan Pekerja telah mengambil langkah pertama dengan memperkena­lkan SCS-CoP System sebagai salah satu inisiatif mereka.

Dalam pada itu, Sabariah turut menyempurn­akan pelancaran Modul Sarawak Civil Service Employee Excellence Program (SCS-EEP).

Modul tersebut dibangunka­n dengan menggunaka­n pendekatan psikologi dan kaunseling dalam membangunk­an penjawat awam yang memfokuska­n peningkata­n prestasi di tempat kerja.

Menurutnya, modul intervensi pemulihan itu telah dihasilkan Bahagian Sokongan Pekerja, SHRU dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik Kuching, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia