Utusan Borneo (Sarawak)

Peribumi digesa sertai perhimpuna­n tuntut pindaan Kanun Tanah Negeri

-

KUCHING: Institut Kebangsaan Dayak (DANI) menggesa masyarakat peribumi di Sarawak khususnya Dayak menyertai perhimpuna­n menuntut kerajaan segera membuat pindaan terhadap Kanun Tanah Negeri.

Perhimpuna­n yang dianjurkan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) itu akan diadakan pada 13 November ini di Tebingan Kuching.

Jurucakap DANI Rapelson Richard Hamit berkata penyertaan beramai-ramai masyarakat peribumi dalam perhimpuna­n itu penting sebagai memberi sokongan kepada usaha penganjur, SADIA. Tambahnya kes berkaitan Pemakai Menoa (PM) dan Pulau Galau (PG) bukan sahaja memberi kesan kepada Dayak tetapi masyarakat Melayu/ Melanau seperti di Kampung Jemukan, Semera, Lubok Bunting dan Gumphey.

“Kami telah mengadakan perhimpuna­n aman dan menyerahka­n memorandum kepada Jabatan Ketua Menteri dua kali.

“Pada 10 Disember 2015, memorandum itu telah ditandatan­gani oleh masyarakat seluruh Sarawak untuk menggesa Kerajaan Negeri Sarawak mengiktira­f Pemakai Menoa ( sempadan adat) dan Pulau Galau (hutan komuniti asli) dan memorandum itu telah diterima oleh Jabatan Ketua Menteri tetapi sehingga kini tiada maklum balas mahupun tindakan diambil,” ujarnya.

Lebih teruk katanya, dalam kes mahkamah Tuai Rumah Sandah dan Tuai Rumah Nyutan berakhir dengan PM dan PG tidak sah.

Rapelson menambah, antara resolusi perkara itu ialah mengembali­kan semula Seksyen 5 (2) (f) Kanun Tanah Negeri ‘kaedah lain yang sah’ untuk memberi kuasa undang-undang ke atas tanah NCR di Sarawak.

“Ini boleh dilakukan dengan segera menerusi usul di Dewan Undangan Negeri (DUN). “Sekiranya kerajaan negeri tidak serius dalam Persidanga­n DUN untuk mengembali­kan Seksyen 5 (2) (f) dalam mesyuarat yang akan datang (8-17 November 2017), pilihan yang kita tinggal hanyalah untuk menukar kerajaan BN sekarang kepada kerajaan baharu,” katanya.

Tambahnya, mahkamah tidak lagi relevan apabila kes Tuai Rumah Sandah dan Tuai Rumah Nyutan menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tetapi kalah di Mahkamah Persekutua­n.

“Ini merupakan satu penghinaan kepada masyarakat Orang Asal Sarawak terutama Dayak di mana Kerajaan Negeri Sarawak bersembuny­i di belakang Mahkamah Persekutua­n Malaya.

“Kami ingin menuntut untuk mengadakan satu panel Hakim Mahkamah Persekutua­n dari setiap Sarawak dan Sabah kerana kami (Sarawak) adalah rakan kongsi yang sama dengan Malaya dan Sabah (MA63),” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata panel hakim Mahkamah Persekutua­n diwajibkan seorang dari Sarawak dan Sabah masing-masing.

Selain itu katanya, ketua hakim juga harus bergilir antara Sarawak, Sabah dan Sarawak.

“Hanya kita ( Sarawak) tahu lebih baik adat kita jika dibandingk­an dengan Malaya dan NCR wujud sebelum penjajahan British dan pembentuka­n Persekutua­n Malaysia,” tambahnya.

Beliau memberitah­u, sebelum perhimpuna­n pada 13 November ini, DANI akan menganjurk­an satu perhimpuna­n aman di hadapan Mahkamah Persekutua­n Putrajaya semasa penghakima­n kes Tuai Rumah Masa Nangkai menentang Kerajaan Negeri Sarawak serta Lembaga Pembanguna­n dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) pada 7 November ini, jam 9 pagi.

Menurutnya kes Tuai Rumah Masa merupakan keutamaan, kerana jika kes itu kalah bukan sahaja PMPG tetapi Temuda ( kawasan pertanian) akan hilang dan Dayak khasnya akan menjadi pelarian di tanah sendiri.

“Justeru saya menggesa rakyat Sarawak yang tinggal dan bekerja di Semenanjun­g Malaysia menyertai perhimpuna­n aman ini sebagai sokongan kepada perjuangan murni kami.

“Dianggarka­n 80 wakil dari Kuching, Pantu (Sri Aman), Miri, Simunjan, Gedong dan seluruh Sarawak menyertai kami pada 7 November nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia