Utusan Borneo (Sarawak)

Dua rakan didakwa cuba simbah petrol di kedai runcit

-

KUALA LUMPUR: Dua rakan didakwa di dua mahkamah berasingan di Ampang di sini semalam atas pertuduhan cuba melakukan khianat dengan menyimbah petrol di sebuah kedai runcit, mengugut untuk membunuh serta cuba merompak pekerja kedai runcit itu, bulan lepas.

N. Manimohan, 23, dan K. Jegan, 21, kedua-duanya pemandu lori, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama cuba melakukan khianat dengan api iaitu menyimbah petrol di pasar mini Aliza Resources Snd Bhd di Pandan Jaya, pada 8 malam, 19 Okt lepas.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M.S Arunjothy tidak menawarkan sebarang wang jaminan namun keduadua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarka­n jaminan dengan alasan mereka merupakan penanggung utama keluarga.

Hakim Mohamad Kamil membenarka­n kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Dis untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Manimohan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menakutkan secara jenayah dan ugutan dengan menyebut perkataan ‘akan potong dan bunuh’ pekerja kedai runcit itu yang merupakan warganegar­a Bangladesh.

Jegan pula mengaku tidak bersalah cuba merompak sebuah telefon bimbit milik seorang lagi pekerja kedai runcit itu yang juga warganegar­a Bangladesh di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Manimohan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan manakala Jegan dituduh mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohamad Firdaus membenarka­n Manimohan diikat jamin RM3,000 dan Jegan RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan mereka dilarang mendekati atau mengganggu mangsa. Mahkamah menetapkan tarikh sebutan yang sama seperti di Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Norhashima­h Hashim. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia