Utusan Borneo (Sarawak)

ATM sedia hospital medan di kem pelarian Rohingya bulan ini

-

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyediaka­n hospital medan yang dilengkapi peralatan perubatan bagi Misi Kemanusiaa­n Pelarian Rohingya di Chittagong, Bangladesh pada bulan ini.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor berkata hospital medan itu merupakan yang paling canggih dan lengkap apabila diaturgera­kkan ke negara berkenaan nanti.

“Di sana terdapat dua hospital medan yang telah sedia ada kelolaan Norwegian Red Cross dan Bangladesh Red Crescent, namun, ia tidak mempunyai kebolehan dan peralatan yang selengkap hospital medan Malaysia ini.

“Hospital medan ini boleh menempatka­n sehingga 150 pesakit pada satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, x-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak ,” katanya selepas meninjau persiapan akhir hospital medan itu di Hospital Tentera Tuanku Mizan di sini, semalam.

Raja Mohamed Affandi berkata, kesemua kelengkapa­n terbabit adalah untuk kegunaan 140 petugas Tim Perubatan Malaysia yang akan diketuai oleh Kementeria­n Kesihatan Malaysia.

“Jumlah itu termasuk doktor pakar, pegawai perubatan serta staf sokongan KKM dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Ini merupakan kerjasama terbesar antara ATM dan KKM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) selaras dengan saranan kerajaan agar semua pihak berganding bahu membantu pelarian Rohingya ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Tim Perubatan Malaysia, Dr Rizal Amrin Alwi berkata seramai enam doktor pakar merangkumi pakar bedah umum dan trauma, pakar obstetrik dan ginekologi serta pakar bius akan turut serta dalam misi tersebut.

Krisis kemanusiaa­n di wilayah Rakhine, Myanmar semakin memuncak sejak Ogos lepas dengan semakin ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari, menyebabka­n semakin banyak kem pelarian diwujudkan.

Sehingga kini angka sebenar pelarian Rohingya itu tidak dapat disahkan namun banyak pihak mendakwa ia telah melebihi sejuta orang. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TINJAU: Mohamed Affandi dan Rizal bergambar bersama pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan sukarelawa­n ketika meninjau persiapan Hospital Medan ARPA bagi misi bantuan kemanusiaa­n pelarian Rohingya ke Chittagong, Bangladesh di Hospital Angkatan...
— Gambar Bernama TINJAU: Mohamed Affandi dan Rizal bergambar bersama pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan sukarelawa­n ketika meninjau persiapan Hospital Medan ARPA bagi misi bantuan kemanusiaa­n pelarian Rohingya ke Chittagong, Bangladesh di Hospital Angkatan...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia