PERKESO Cawangan Miri berjaya melaksanakan 16 kes pendakwaan
MIRI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Cawangan Miri berjaya melaksanakan 16 kes pendakwaan di Mahkamah Majistret Miri bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan nilai denda keseluruhan berjumlah RM21,600.
Pengurusnya Hendera Saiful berkata daripada jumlah kes itu, sembilan daripadanya adalah kesalahan gagal mendaftar perusahaan yang didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 (Akta 4) dan Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja (PPAKSP) 1971.
Manakala lima lagi kes membabitkan kesalahan gagal hadir saman jabatan mengikut Seksyen 110 (2) dan dua kes gagal atau lewat melaporkan kemalangan di bawah Seksyen 94 (e)/Peraturan 71 AKSP 1969 (Akta 4) dan PPAKSP 1971.
“Daripada jumlah 16 kes, 10 kes mengaku bersalah dan telah dikenakan denda yang kesemuanya berjumlah RM21,600 dengan jumlah paling tinggi adalah RM4,500.
“Kami masih ada lima kes pendakwaan yang kini masih berjalan dan menunggu untuk sebutan lanjut pada bulan November ini,” katanya.
Beliau memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di pejabat PERKESO Cawangan Miri di sini semalam.
Hadir sama Pegawai Eksekutif PERKESO Miri merangkap Ketua Unit Pendakwaan Mohd Yazit Mohd Hepni dan Musa Jenun daripada Unit Penguatkuasaan PERKESO Miri.
Dalam pada itu menurut Hendera, sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini, pihaknya mempunyai 30 kes disyorkan untuk didakwa berbanding 36 kes disyorkan untuk didakwa bagi tempoh sepanjang tahun 2016.
“Justeru kita menjangkakan jumlah kes yang disyorkan untuk didakwa pada tahun ini akan meningkat memandangkan masih ada dua bulan lagi sebelum tahun 2017 berakhir,” katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa para majikan agar mengambil serius soal mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang.
Menurut Hendera, keban- yakan majikan yang diambil tindakan mahkamah sering memberi alasan remeh seperti lupa, tidak mengetahui peraturan dan sebagainya.
“Apabila seseorang majikan membuka perusahaan atau perniagaan, walaupun hanya mempunyai seorang pekerja, mereka wajib mendaftarkannya dengan PERKESO untuk memudahkan urusan sekiranya berlaku kemalangan pada kemudian hari.
“Para pekerja juga perlu mendapatkan surat tawaran bekerja dan beberapa dokumen lain daripada majikan sebagai bukti sekiranya berlaku sesuatu kemalangan kerana aduan tanpa pembuktian atau barang bukti susah untuk diselesaikan,” tegasnya.
Tambah beliau, kesalahan gagal mendaftar perusahaan sering melibatkan perusahaan kecil- kecilan seperti kedai runcit, kedai gunting rambut dan kedai makan atau restoran.
Dalam perkembangan lain, Hendera berkata setakat ini pihaknya sedang berusaha memujuk para pemandu teksi untuk mencarum dengan PERKESO.
“Sekarang belum ada seorang pun yang mencarum dengan PERKESO, justeru kita akan terus memujuk mereka untuk berbuat demikian,” katanya sambil memberitahu dua pengusaha Grab telah berbuat demikian.