Inisiatif kerajaan akan rangsang kemampanan kewangan: RAM Ratings
KUALA LUMPUR: RAM Ratings menjangkakan Kerajaan Malaysia akan mengadakan inisiatif untuk terus menggalakkan pembangunan kewangan yang mampan.
Dalam satu kenyataan kelmarin, agensi penarafan yang menjuruskan kepakarannya kepada entiti dalam dan luar negera termasuk syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan, bank, syarikat insurans, syarikat projek kewangam dan kedaulatan, seterusnya, mem- beritahu kewangan hijau dan kelestarian semakin mendapat tarikan di seluruh dunia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Promod Dass berkata kejayaan Malaysia dalam kewangan yang mampan telah digalakkan oleh pengawal selia yang menerajui kewangan beretika, hijau dan Islam, ini membawa kepada pembangunan pasaran.
“Usaha-usaha Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia sejak 2014, telah meletakkan asas yang kukuh kepada pelaburan dan kewangan yang mampan,” katanya.
RAM berkata inisiatif dalam kewangan Malaysia membabitkan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab SC termasuk penubuhan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia dalam 2014.
Keperluan untuk menggabungkan pendedahan yang berkaitan dengan kemampanan dalam laporan tahunan di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia dan Bab 6: Mengejar Pertumbuhan Hijau bagi Kemampanan dan Ketahanan ke dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020), telah memberikan lonjakan kepada momentum tersebut.
Sementara itu, RAM berkata, BNM juga telah menyatakan strategi untuk mengukuhkan peranan dan kesan institusi perbankan Islam ke atas ekosis- tem kewangan yang mampan, melalui Kertas Strategi mengenai Perantaraan berasaskan Nilai yang diterbitkan dalam tahun ini.
“Forum Pasaran Modal ASEAN, yang turut disertai SC, sedang bekerjasama dengan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa untuk memperkenalkan Standard Bon Hijau ASEAN.
“Usaha ini akan membolehkan pasaran modal ASEAN memanfaatkan kewangan hijau untuk menyokong pertumbuhan serantau dan memenuhi kepentingan pelabur dalam pelaburan hijau,” katanya.
Menurut agensi itu lagi, usaha tersebut telah mendorong inovasi pasaran dan pencapaian, seperti sukuk yang ditarafkan RAM, iaitu Sukuk Ihsan Khazanah Nasional Bhd - sukuk SRI pertama di dunia dalam 2015 dan sukuk terbitan Tadau Energy Sdn Bhd baru-baru ini yang merupakan sukuk SRI hijau yang pertama di wujudkan.
RAM percaya bahawa kewangan yang mampan di Malaysia akan dapat dipertingkatkan lagi dengan pengecualian cukai pendapatan untuk penerima geran khas Sukuk SRI Hijau, serta pengembangan yuran pengurusan kepada pengurus dana SRI konvensional yang diluluskan dari tahun penilaian 2018 sehingga 2020, seperti yang diumumkan di bawah Bajet 2018. — Bernama