Skandal gangguan seksual: Menteri UK meletak jawatan
Mohon maaf letak tangan di atas lutut wartawan politik
LONDON: Setiausaha Pertahanan Britain Michael Fallon meletak jawatan sebagai menteri kerajaan kelmarin dalam skandal berhubung gangguan seksual yang semakin serius di Westminster.
“Beberapa dakwaan telah muncul mengenai Ahli Parlimen (MP) sejak beberapa hari lalu, termasuk beberapa dakwaan tentang kelakuan saya sebelum ini. Kebanyakan dakwaan ini palsu tetapi saya menerima hakikat bahawa pada masa lalu, saya telah jatuh di bawah standard tinggi yang kita tuntut daripada angkatan tentera yang saya pernah berbesar hati untuk wakili,” tulis Fallon dalam sepucuk surat perletakan kepada Perdana Menteri Theresa May.
Fallon, yang berhasrat untuk kekal sebagai MP, memohon maaf pada minggu ini kerana meletak tangannya di atas lutut wartawan politik, Julia Hartley-Brewer.
Ketika beliau muncul dalam televisyen, Hartley-Brewer berkata beliau tidak fikir perletakan Fallon dari kabinet dibuat hanya berdasarkan insiden pada 2002 itu.
“Saya mengandaikan lebih banyak dakwaan yang akan datang,” katanya kepada Sky News.
“Saya sangat meragui bahawa ia adalah kerana lutut saya dan jika ia adalah kerana itu, saya rasa itu benar-benar sasau dan tidak masuk akal dan gila.”
Fallon tidak menjawab secara terus ketika ditanya oleh BBC sama ada beliau bimbang atau tidak bahawa lebih banyak cerita yang akan muncul berhubung tingkah lakunya.
“Budaya sudah berubah selama ini, apa yang mungkin diterima 15, 10 tahun lalu jelas tidak dapat diterima sekarang,” katanya kepada badan penyiaran Britain itu.
May telah menuntut agar peraturan mengenai tingkah laku MP diperketatkan dan meminta pertemuan pada minggu depan dengan ketua parti lain, ekoran kemunculan beberapa dakwaan tentang gangguan seksual di Westminster.
Dalam sepucuk surat kepada Fallon, yang pertama kali dipilih ke parlimen pada 1983, May mengucapkan terima kasih kepadanya bagi “karier yang lama dan mengagumkan sebagai menteri”.
“Saya menghargai cara anda yang biasanya serius ketika mempertimbangkan kedudukan anda, dan contoh khusus yang anda ingin tunjukkan kepada anggota keselamatan dan lain-lain,” beliau menulis.
Fallon sudah berkhidmat sebagai setiausaha pertahanan sejak 2014 dan dilihat sebagai tokoh yang stabil dalam Parti Konservatif, dan kerap ditampilkan untuk mempertahankan kerajaan menerusi televisyen dan radio.
Perletakannya boleh memaksa May untuk mem- buat rombakan yang sukar, yang berlaku ketika perdana menteri itu berdepan dengan masalah untuk membendung perpecahan Brexit dalam partinya sendiri dan menunjukkan kuasa selepas tindakannya mengadakan pilihan raya tergempar pada Jun lalu memakan diri.
Kerajaan May telah diganggu oleh beberapa dakwaan tentang gangguan seksual, dan siasatan sedang dijalankan ke atas dakwaan bahawa timbalan hakikinya Damian Green menyentuh lutut wartawan Kate Maltby dan kemudian menghantar pesanan teks yang lucah kepadanya.
Green berkata ia “sama sekali tidak benar bahawa saya pernah membuat sebarang tindakan seksual” terhadap wartawan itu.
Menteri muda perdagangan Mark Garnier juga sedang disiasat atas tuduhan melanggar kod menteri kerana meminta bekas setiausahanya untuk membeli alat permainan seks untuknya pada 2010.
Puluhan ahli politik dari parti Konservatif yang memerintah telah disenaraikan dalam satu ‘spreadsheet’ yang diedarkan di Westminster, dilaporkan menceritakan tentang hubungan biasa, kecenderungan seksual serta dakwaan yang tidak dinyatakan dan tidak disahkan mengenai tingkah laku yang tidak wajar. — AFP