Sambutan Ekspresi Negaraku Peringkat Negeri Sarawak yang terhebat: TPM
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan Ekspresi Negaraku Peringkat Negeri Sarawak adalah yang terhebat berbanding di beberapa lokasi sebelum ini.
“Dalam jelajah saya dalam program Ekspresi Negaraku, saya lihat tempat-tempat lain, ramai (pengunjung) sambutan hebat, tapi di Kuching ini lebih hebat lagi,” katanya di hadapan ribuan pengunjung yang mula membanjiri Dataran Perayaan di sini seawal jam 6 pagi semalam.
Beliau berkata Ekspresi Negaraku bukan program biasa, yang hanya merupakan perhimpunan rakyat dan pemimpin tetapi merupakan satu manifestasi kepedulian kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan kepada semua kumpulan rakyat di seluruh Malaysia seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 baru-baru ini.
Menurutnya, kepedulian kerajaan itu harus disambut baik oleh rakyat di seluruh negara terutama di Sarawak, lebih-lebih lagi keterangkuman disebut Najib dalam Bajet 2018 serta menterjemahkan pelbagai agenda dan program.
“Kepedulian dan keterangkuman ini bukan sekadar ucapan retorik tetapi pelaksanaan yang dijalankan dalam kadar segera.
“Itulah sebabnya, saya sendiri mengucapkan syabat dan tahniah kepada Ketua Menteri Sarawak ( Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg) yang cukup proaktif menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan ikhlas,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kehadiran ribuan rakyat Sarawak pelbagai kaum dalam program itu membuktikan Sarawak negeri kukuh perpaduannya.
Katanya kemajuan dan pembangunan negara tidak bermakna jika integrasi nasional rakyat pelbagai kaum gagal dicapai.
“Saya dan pemimpin-pemimpin pusat bangga melihat bagaimana rakyat Sarawak yang lebih 27 kumpulan etnik dapat hidup bersatu padu.
“Orang Sarawak ‘ buta warna’, orang Sarawak tidak ada sempadan dan batas perkauman. Orang Sarawak berpadu sebaik-baiknya dan harus dipelajari oleh negeri atau kaum lain,” katanya.
Penganjuran program Ekspresi Negaraku semalam adalah penganjuran yang kesembilan di seluruh di negara sejak ‘ Pelancaran Inisiatif # Negaraku’ oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Putrajaya pada 18 Mac lalu.
Tujuan utama penganjuran Ekspresi Negaraku ialah menyediakan platform kepada rakyat untuk mengetengahkan kisah-kisah kejayaan dan sumbangan individu, komuniti dan organisasi yang telah mencipta nama untuk Malaysia.
Pada masa sama memberi ruang kepada rakyat Malaysia berkumpul dan bersamasama menyemarakkan rasa bangga, cinta dan aspirasi mereka terhadap Malaysia.
Ekspresi Negaraku Peringkat Negeri Sarawak semalam menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan seperti Larian Bendera Negaraku, senamrobik, pengenalan ikon negara serta acara pentas.
Sebanyak 30 ruang pameran disediakan antaranya ruang pameran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, projek infrastruktur terbesar di negeri ini.
Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri dan mendapat ‘perasaan sebenar’ tentang ‘Modam HIM’ iaitu penukaran reka bentuk kejuruteraan 2D konvensional kepada lukisan 3D menggunakan teknologi terkini di gerai pameran Permodelan Maklumat Lebuh Raya.
Sambutan Ekspresi Negaraku itu turut disemarakkan lagi dengan Dapur Sarawak yang menyediakan juadah menyelerakan dengan pelbagai masakan tempatan.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Penerangan dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Speaker Dewan Undangan Negeri ( DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.