Pesta Burung Antarabangsa bermula tahun depan
Dianjur berikutan pertambahan peminat pelbagai spesies burung sekali gus merancakkan pelancongan
MIRI: Pesta Burung Antarabangsa bakal diadakan bermula tahun depan di sini berikutan pertambahan peminat pelbagai spesies burung sekali gus merancakkan industri pelancongan.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata cadangan itu dibuat selepas kejayaan penganjuran Pertandingan Seni Suara Burung Murai Antarabangsa Miri.
“Saya mencadangkan penganjuran Pesta Burung Antarabangsa untuk mengumpulkan pelbagai spesies burung termasuk yang semakin jarang dilihat agar dipamerkan kepada orang ramai,” katanya pada Pertandingan Seni Suara Burung Murai Antarabangsa Miri semalam.
Ahli Dewan Undangan Senadin itu memberitahu, statistik yang dikeluarkan Jabatan Hutan Sarawak menunjukkan sejumlah 318 lesen diluluskan untuk memiliki burung murai batu.
Saya mencadangkan penganjuran Pesta Burung Antarabangsa untuk mengumpulkan pelbagai spesies burung termasuk yang semakin jarang dilihat agar dipamerkan kepada orang ramai. Datuk Lee Kim Shin Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
“Ia cukup membuktikan terdapat peningkatan di kalangan peminat burung murai batu dan spesies lain, sehubungan itu Pesta Burung Antarabangsa ini nanti dapat mengumpulkan peminat dari dalam dan luar negara,” katanya.
Bagi tujuan itu, kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak serta Kelab Pencinta Burung Kicau Miri (Pekicau Miri).
Lee secara peribadi menyokong aktiviti yang dapat menarik kehadiran pelancong asing ke Miri termasuk penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa.
“Mereka boleh datang ke sini untuk melihat sendiri pelbagai spesies burung yang terdapat di Sarawak ter- masuk melawat taman-taman burung yang melindungi spesies burung terancam,” katanya.
Beliau juga berharap semua pihak mengadakan promosi awal dalam media sosial bagi memaklumkan perancangan Pesta Burung Antarabangsa tahun depan.
Sementara itu, pertandingan itu telah disertai kira-kira 345 peserta dari Brunei Darussalam, Indonesia, Sabah, dan tuan rumah, Sarawak (Miri, Marudi, Bintulu, Limbang, Lawas dan Kuching).
Hadir sama ialah ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak ( JHS) Engkamat Ladin dan Pengerusi Pekicau Miri Azhar Bujang.