Projek baiki bahu jalan tidak ikut piawaian
Kontraktor harus letak papan tanda beritahu terdapat kerja pembinaan dilakukan
MIRI: Projek menambah baik bahu jalan terhakis di Bukit Kanada Miri tidak mematuhi piawaian dan standard keselamatan termasuk tiada papan notis pemberitahuan kerja-kerja dilakukan.
Ketua Operasi Biro Aduan Awam SUPP Miri Erick Chin berkata sepatutnya kontraktor meletakkan papan tanda memberitahu pengguna jalan raya terdapat kerja pembinaan dilakukan.
“Dua hari lalu pengadu memberitahu bahawa terdapat hakisan tanah di bahu jalan ini malah kontraktor dilantik agensi berkaitan bagi kerja pembaikan.
“Bagaimanapun, kerja dilakukan ketika ini tidak mematuhi standard dan piawaian keselamatan dan menyebabkan hakisan lebih besar,” katanya di sini semalam.
Menurut Erick, pengadu yang juga penduduk di kawasan perumahan berhampiran Bukit Kanada bimbang hakisan tanah berlaku sama seperti kejadian di Pulau Pinang.
“Kita berharap kontraktor dilantik memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui jalan itu dengan meletakkan papan tanda amaran atau pemberitahuan,” jelasnya.
Malah, keadaan jalan sempit serta tidak berlampu pada sebelah malam boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya terutama penduduk kampung.
“Saya berharap pihak berkaitan lebih bertanggungjawab melaksanakan projek untuk rakyat termasuk meletakkan papan pemberitahuan bagi mengelakkan kemalangan berlaku,” katanya.
Sementara itu, orang ramai di kawasan Senior Citizen Street bakal menikmati kemudahan Unifi secara percuma sehingga Disember depan.
Erick berkata, ia adalah hasil pemohonan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin agar Telekom Malaysia (TM) menyediakan Unifi percuma.
Atas dasar tanggungjawab sosial korporat, sepasukan pegawai TM diketuai Pengurusnya Sharifah Bahiyah Wan Ibrahim meninjau Senior Citizen Street semalam.
Ini adalah untuk menentukan lokasi strategik meletakkan peralatan dan modem Unifi dengan persetujuan bersama pemilik kedai berhampiran.
Selepas itu, TM akan memasang Unifi yang boleh diakses secara percuma 24 jam sehingga penghujung Disember depan.