Bekas penuntut tahu 12 buku miliknya ada kaitan pengganas
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa bekas pelajar sarjana sebuah universiti awam mengetahui kesemua 12 buah buku yang menjadi subjek dalam pertuduhannya yang digunakan untuk penyelidikan ketika dalam proses menyiapkan tesisnya mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.
Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa perayu iaitu Siti Noor Aishah Atam juga tidak menafikan tentang pemilikan kesemua 12 buah buku berkenaan.
Hujahnya tidak wujud kecacatan pada pertuduhan yang disabitkan terhadap Siti Noor Aishah, 30, sehingga menjejaskan pembelaannya, dan mahkamah perlu menilai sama ada pertuduhan yang disabitkan itu selamat atau tidak.
“Walaupun pihak pembelaan membangkitkan isu pertuduhan yang disabitkan terhadap perayu telah gagal dibuktikan, tetapi tiada sebarang keterangan yang baharu dikemukakan,” hujahnya.
Beliau berhujah demikian pada kes rayuan pihak pembelaan berhubung sabitan dan hukuman terhadap Siti Noor Aishah yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas, pada 26 April lepas.
Selain itu Faizah selaku responden berhujah bahawa keterangan pembelaan yang diberikan oleh Siti Noor Aishah pada perbicaraan yang lepas juga gagal membuktikan keraguan munasabah pada kes pihak pendakwaan.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili perayu, berhujah bahawa pemilikan buku untuk tujuan pembelajaran dan ilmu adalah satu pemilikan yang tidak boleh dikaitkan dengan perbuatan pengganas dan pertubuhan pengganas.
Beliau berhujah bahawa Siti Noor Aishah membeli kesemua buku itu dan disimpan untuk tujuan kajian dan menambah pengetahuannya kerana buku-buku tersebut relevan dengan tajuk tesisnya iaitu ‘Implikasi Tauhid Dalam Pentadbiran Negara’.
“Kalau dilihat dari segi koleksi buku perayu, sememangnya perayu memiliki banyak buku genre dan pelbagai tajuk, adalah sukar baginya untuk tahu buku-buku itu boleh dikaitkan dengan pengganas,” hujahnya.
Pihakpendakwaandanpembelaan berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Mahkamah menangguhkan keputusan terhadap rayuan berkenaan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian bagi mengkaji beberapa isu perundangan berhubung kes tersebut.
Wanita itu yang pernah menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya pada 2013, diperintah menjalani hukuman lima tahun penjara bermula tarikh tangkap dan dijangka dibebaskan pada 22 Julai 2019.
Pada 19 April 2016, Siti Noor Aishah, didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu, atas pertuduhan memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas dan pada 25 Julai tahun sama, wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan itu.
Wanita itu dituduh memiliki buku yang merupakan item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), IS dan Al Qaeda (AQ).
Dia yang kini ditahan di Penjara Kajang didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu. — Bernama
Suspek tikam anggota keluarga direman tujuh hari
SEREMBAN: Suspek yang dipercayai menikam seorang anggota keluarganya iaitu Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Nyatoh, Norhaidi Mat Yusop, kelmarin, direman selama tujuh hari, bermula semalam.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Seremban Siti Huzaifah Abdul Talib, di Mahkamah Khas (Reman) Seremban, di sini.
Terdahulu, suspek beru- sia 31 tahun itu, dibawa ke mahkamah kira- kira jam 9.30 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, suspek dan Norhaidi, 40, dikatakan telah bergaduh di rumah ibu mereka di Taman Bunga Sejati, Rantau, dekat sini.
Dalam pergaduhan itu, suspek dikatakan telah menikam mangsa di bahagian belakang badan dengan pisau di halaman rumah.
Mangsa yang cedera parah terus dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Dalam kejadian itu, polis telah merampas senjata iaitu sebilah pisau serta sebatang besi penggali tanah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama