UCA diminta berperanan penting kepada masyarakat Cina
SIBU: Persatuan Gabungan Cina (UCA) Sarawak diminta supaya memainkan peranan penting kepada masyarakat Cina di negeri ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh berkata ini penting bagi menjaga kebajikan serta isuisu berkaitan masyarakat itu.
“UCA perlu lebih proaktif dan komited dengan peranannya serta menggerakkan persatuan demi masyarakat Cina di negeri ini.
“Saya mahu mereka lebih peka dengan isu-isu semasa yang sering melanda masyarakat kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-40 UCA Bahagian Sibu di sini kelmarin.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King, Timbalan Duta Besar China ke Kuching Zhang Yang, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee, Temenggung Datuk Vincent Lau, Presiden UCA Sarawak Hii Teck Yun, Pengerusi UCA Bahagian Sibu Kong Hian Khim dan pengerusi pengelola Lau Kiun Foo.
Beliau menyempurnakan majlis itu bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.
Sementara itu, Wong juga mahu UCA rapat dengan agensi-agensi kerajaan dalam usaha menyelesaikan masalah serta isu-isu semasa dihadapi masyarakat Cina.
Menteri Kewangan Kedua itu berkata, ini perlu bagi memudahkan urusan mereka malah hubungan harus dikukuhkan membolehkan setiap urusan mudah serta mempunyai banyak saluran.
“Selain itu, UCA juga perlu mengukuhkan hubungan mereka dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam mempelbagai peranan mereka,” jelasnya.
Bagi mengekalkan UCA terus relevan kepada masyarakat Cina di negeri ini, Wong mahu semua ahlinya sentiasa bersatu padu serta mengetepikan persepsi politik berbeza.
“Jangan campur aduk politik dan bangsa. Ini membuatkan anda lebih mudah bekerja sekiranya faktor bangsa diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu, Wong turut memberi jaminan bahawa pihaknya serta kementerian berkaitan berusaha memperbanyakkan penerbangan ke Sibu.
“Ia mengambil masa dan bukannya mudah menghubungkan Sibu dengan negara luar,” katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya turut berusaha menambah penerbangan Sibu-Kota Kinabalu.
Pada majlis itu, UCA turut mengagihkan peruntukan RM25,000 kepada sekolahsekolah Cina persendirian di negeri ini.
Sejumlah RM17,000 berjaya dikumpulkan daripada hadirin pada majlis itu bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang.