Inovasi penghasilan simenfero bantu jana pendapatan belia
BETONG: Inovasi dalam penghasilan produk simenfero dapat menambah pendapatan belia malah memberi keuntungan jika diusaha dengan bersungguh-sungguh termasuk direka dalam pelbagai bentuk menarik minat pengguna.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu menyeru belia membangunkan usaha masingmasing dalam menambah ilmu dan pengetahuan dalam bidang perusahaan yang menguntungkan dan menjana pendapatan diri dan keluarga.
“Kerajaan sentiasa menyediakan peluang kepada belia melengkapkan diri dengan ilmu yang boleh dimanfaat untuk kesenangan diri dan masyarakat sekeliling.
“Justeru, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menerusi Politeknik Metro Betong Sarawak (PMBS) yang berkemahiran tinggi dan khusus dalam simenfero menyediakan kursus belia terpilih menyertai program yang direncana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup rasmi program Touch Point 2017 @ PMBS yang berlangsung dekat situ semalam.
Tambahnya belia perlu proaktif dalam menghasilkan sesuatu termasuk mencari modal untuk memulakan perusahaan dan mengembangkan produk yang diiktiraf.
“Bagi yang sukar untuk memperolehi dana, mungkin boleh dibangunkan secara berkumpulan dalam kampung atau rumah panjang dan memasarkan produk menerusi media sosial yang diiktiraf pada masa kini dalam era digital,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama Rentap turut menyarankan kepada belia di Betong untuk mencuba membangunkan Uber di kawasan Betong yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan kerana pada masa ini ia belum nampak lagi diusahakan di sini,” katanya.
Seramai 40 belia dari kawasan Parlimen Batang Lupar, Saratok dan Betong menyertai Kursus Simenfero(Masonry) yang dianjurkan selama tiga hari, bermula 10 November dan berakhir semalam.
Turut hadir Pengarah PMBS Chow Tio Kiong, Pegawai Belia dan Sukan Betong Israk Ismail, Pengarah Kolej Komuniti Betong Titu Raymond Jayim Sidet dan pengerusi program Zamre Abdul Rahman.