Kerajaan laksana program keusahawanan untuk belia
KUCHING: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan bersama pelbagai agensi menyedia serta melaksanakan pelbagai program keusahawanan untuk golongan belia.
Antaranya menurut Menteri Muda Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, program seperti latihan kemahiran, pembangunan produk, promosi dan pemasaran, pensijilan, penyediaan premis perniagaan, bantuan kewangan dan sebagainya.
Program-program ini menurutnya adalah untuk menarik minat dan memperkasakan para usahawan sama ada yang baharu mahupun yang sedia ada, orang dewasa atau orang muda dan belia.
“Bagi belia yang berumur 40 tahun ke bawah, kerajaan menyediakan beberapa program khas sebagai contoh Skim Usahawan Permulaan ( SUPERB), Tunas Usahawan Bumiputera ( TUBE), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Rural Business Challenge ( RBC) dan pendaftaran percuma bagi usahawan online dan banyak lagi.
“Kejayaan sesuatu program keusahawan atau perniagaan biasanya dinilai dari segi pendapatan kewangan iaitu untung rugi perniagaan, kemajuan produk atau perkhidmatan sama ada boleh berdaya tahan lama atau tidak dan dari segi besar dan kecil pasarannya.
“Tetapi bagi program khas untuk belia di atas, kejayaannya dinilai dari segi idea dan kreativiti, kejayaan mendaftar syarikat serta memulakan perniagaan syarikat selepas tamat latihan dan kekuatan kapasiti pengeluaran serta keupayaan menembusi pasaran,” katanya.
Naroden berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Fazzrudin Abdul Rahman (BN-Tupong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN semalam. Menjawab pertanyaan Datuk Mong Dagang ( BN- Bukit Begunan) berhubung program Satu Daerah Satu Produk (SDSI), Naroden berkata program ini mula diperkenalkan oleh MITI Malaysia untuk menggalakkan pembangunan sesuatu program atau perkhidmatan berlandaskan keunikan atau kekuatan aktiviti ekonomi dalam sesebuah daerah atau komuniti.
Bagi Sarawak katanya, melalui program ini walaupun belum menyeluruh berupaya mengenal pasti produkproduk yang sinonim dengan aktiviti ekonomi dalam daerah masing-masing.
Sebagai contoh, Lawas dan Limbang terkenal dengan tahai, kerbau, kraf tangan, manic, seramik, madu tesirat dan sebagainya manakala Kapit dan Belaga terkenal dengan kraf, ikan empurau dan ikan semah.
Produk-produk dari manamana kawasan tidak semestinya berbeza jauh kerana hampir semua kawasan kita memiliki flora, fauna dan budaya yang hampir serupa.
Bagaimanapun, kementerian menurut Naroden bersama kementerian-kementerian dan agensi yang lain sentiasa memberi fokus kepada pembangunan hiliran, huluan kerana SDSI lebih mengenai penyertaan dan pengeluaran kualiti dan pemasaran produk.