Penglibatan, sumbangan wanita amat diperlukan bangun negara
SRI AMAN: Penglibatan serta sumbangan wanita amat diperlukan dalam membantu kerajaan membangunkan negara serta membentuk negara bangsa.
Setiausaha Politik Menteri Pembambangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Saifudin Matsah berkata wanita tidak harus disisihkan dan dipandang rendah.
Katanya wanita harus mempunyai rasa tanggungjawab serta keupayaan diri menyumbang tenaga terhadap kelangsungan hidup harmonis dan sejahtera seperti lelaki.
“Kita tidak mahu wanita anggap diri mereka lemah sebaliknya harus berani berdepan setiap cabaran dihadapi lelaki bersama memban- gunkan negara,” katanya pada Program Jalinan Kasih Wanita Bersama Pemimpin anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Sri Aman, PPWS Maludam, Pejabat Daerah Kecil Maludam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam di sini.
Beliau mewakili Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sumbangan wanita dahulu dan sekarang jauh berbeza.
Dalam pada itu, Saifudin menyeru wanita memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran bersama lelaki membangunkan negara.
“Fokus utama kita dari segi pendidikan dengan adanya ilmu pengetahuan senang kita membentuk keluarga terlebih dahulu sebelum kita melibatkan diri dengan dunia luar,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Keluarga (MPWK) Parlimen Batang Lupar Zuraida Julai, Pengerusi PPWS Sri Aman Fridah Abdul Sani serta yang lain.
Program itu turut dimeriahkan dengan pertandingan masakan, gubahan bunga dan sukaneka melibatkan ahli PPWS kawasan Sri Aman dan Maludam.
Saifudin turut menyampaikan geran kerajaan kepada pertubuhan kawasan Maludam dan penyampaian hadiah pertandingan tersebut.