Penyambungan sistem elektrik grid terus diperluas, diperkukuh
KUCHING: Penyambungan sistem elektrik grid akan terus diperluas dan diperkukuhkan bagi memenuhi permintaan setempat dan meningkatkan kebolehpercayaannya bekalan elektrik di negeri ini.
Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata bagi tujuan itu sejumlah RM1.8 bilion telah diperuntukkan sejak 2017 dan akan diteruskan sehingga 2022.
“Ini termasuk 68 pencawang elektrik baharu 33/11kV di seluruh negeri. Lima daripada projek ini telah siap tahun ini, baki projek sedang dilaksanakan dan dijadual siap dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Sebagai tambahan, lebih 110 projek pengukuhan sistem pengagihan juga akan disiapkan secara berperingkat sehingga 2022,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulun- gan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Dr Rundi menambah, bagi mencapai operasi cemerlang, Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pencapaian penyambungan bekalan elektrik di negeri ini.
Antaranya ialah peningkatan bumi, pemasangan perangkap kilat, sistem pengesanan kilat, pemantauan jarak jauh, automasi, pengurusan tumbuhtumbuhan, rondaan talian yang kerap dan pengesanan lapangan tenaga, jelasnya.
“Indeks Durasi Purata Gangguan(SAIDI) untukpengagihan bekalan elektrik telah menurun iaitu 46 peratus daripada 357 minit pada 2010 kepada 125 minit pada 2016.
“Berbanding Semenanjung Malaysia dan Sabah SAIDI Tenaga Nasional Berhad dan SESB ialah 49 minit dan 221 minit masing-masing. Kita akan terus berusaha mengurangkan SAIDI kepada 60 minit menjelang 2020,” katanya.
Menyentuh bekalan elektrik luar bandar, Dr Rundi berkata kira-kira 110,000 isi rumah baharu luar bandar telah disambungkan dengan bekalan elektrik 24 jam sejak 2009.
Ketika ini katanya, purata liputan elektrik di Sarawak ialah 95 peratus dengan liputan di luar bandar sebanyak 89 peratus.
Inisiatif lain untuk membekalkan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar katanya, ialah Skim Bekalan Elektrik Alternatif Sarawak (SARES) dan sehingga kini ia telah memberi manfaat kepada 1,400 isi rumah atau lebih 7,700 penduduk luar bandar.
Manakala lebih 32 kampung melibatkan kira-kira 700 isi rumah dan 3,000 penduduk luar bandar dijangka dibekalkan dengan bekalan elektrik di bawah SARES tahun ini.
“Apabila SARES siap pada 2020, lebih 320 kampung di pedalaman Sarawak akan disambung dengan bekalan elektrik 24 jam menerusi pembinaan sistem hidro mini dan solar,” katanya.