Nad Zainal dalam drama
SELEPAS berakhirnya drama ‘Raisha’ minggu lepas, slot Zehra kembali dengan sebuah lagi drama baharu berjudul ‘Jurnal Suraya’ lakonan Nad Zainal mulai 15 November, setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam hanya menerusi TV3.
‘Jurnal Suraya’ yang merangkumi 13 episod ini banyak mengetengahkan unsur-unsur kasih sayang antara keluarga dan sahabat ini diterbitkan oleh Primeworks Studios Sdn. Bhd. di bawah arahan saudara Zul Huzaimy.
Selain daripada Nad Zainal, drama ini turut dibintangi oleh pelakon handalan seperti Johan As’ari, Sasqia Dahuri, Ryzal Jaafar, Aisyaa Hasnaa, Noniswara dan Khairi Anwar.
‘Jurnal Suraya’ mengisahkan ketabahan Suraya (Nad Zainal) dalam meneruskan kehidupan sebagai penghidap Leukimia. Kekuatan yang dimiliki oleh Suraya untuk menghadapi kehidupan seharian ketika hendak menamatkan pengajiannya ternyata dikagumi oleh rakan-rakan senasib dengannya.
Selain rakan-rakannya, Alif (Johan As’ari) yang menghidap kanser tulang tahap tiga turut mengagumi wanita itu dalam diam.
Perhubungan antara Suraya dan Alif pada awalnya terbatas sebagai rakan karib sahaja kerana bapa Suraya, Datuk Hisham (Khairi Anwar) mahu mengahwinkan Suraya dengan Imran (Ryzal Jaafar).
Namun, Imran mempunyai niat tersembunyi di sebalik kesungguhannya untuk menikahi Suraya, iaitu untuk membolot harta keluarga Suraya. Bagaimana pun, lakonan Imran dapat dihidu oleh Suraya kerana Suraya tahu sikap sebenar Imran yang suka berfoya-foya di kelab malam.
Penyakit yang dihidapi Suraya membuatkannya terpaksa ke Singapura untuk melakukan rawatan dan merupakan usaha terakhir atas saranan doktornya, Dr. Nadia. Bukan sahaja Suraya, Alif juga sering diserang penyakitnya dan berulangalik ke hospital. Ekoran daripada tempoh rawatan yang panjang membuatkan Suraya dan Alif terputus hubungan buat seketika.
Ibu mertua Suraya, Puan Sharifah menyokong niat jahat Imran dan melayan Suraya secara endah tidak endah. Puan Sharifah sememangnya tidak berkenan dengan menantunya, Suraya dan menganggap penyakit yang dialami oleh Suraya tidaklah seteruk mana dan hanya sengaja dibuat-buat seperti kelihatan kritikal.
Namun, bukan sahaja kebencian yang diterima daripada ibu mertuanya, perangai buruk Imran yang kaki mabuk dan bersifat curang mereka memberi tekanan kepada Suraya. Hari demi hari, tekanan yang diterima oleh Suraya membuatkan penyakitnya menyerang kembali. Melihat keadaan Suraya yang kritikal dan memikirkan harta yang bakal dimiliki, Imran menghantar Suraya ke hospital.
Adakah cinta Suraya dan Alif terkubur begitu sahaja? Mampukah Suraya bertabah dengan segala cabaran kehidupannya?
Saksikan drama bersiri Jurnal Suraya setiap Rabu dan Khamis pada jam 9 malam di TV3 dalam slot Zehra. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com. my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan youtube TV3 iaitu @TV3Malaysia.