Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara positif mengenai ASEAN
SINGAPURA: Sebanyak 78 peratus daripada penduduk di Asia Tenggara mempunyai pandangan positif terhadap ASEAN, menurut kajian yang dijalankan oleh perunding penyelidikan pasaran yang berpangkalan di Singapura, Blackbox Research.
Kajianitudijalankansempena ulang tahun ke-50 ASEAN.
Dalam kajian awam pertama ke atas penduduk yang dijalankan di 10 negara ASEAN, dapatan menunjukkan walaupun kebanyakan penduduk di Asia Tenggara positif dan optimis mengenai ASEAN dan masa depannya, hampir 74 peratus percaya pembangunan masa depan ASEAN perlu lebih cepat berbanding sekarang.
Kajian yang melibatkan 3,040 golongan dewasa, berumur 18 dan ke atas, dijalankan pada Oktober 2017.
Kajian itu mendapati kebanyakan yang positif adalah penduduk Laos (88 peratus) manakala yang paling kurang positif rakyat Singapura (59 peratus).
Hanya kurang daripada separuh (47 peratus) percaya ASEAN telah mencapai kejayaan besar dalam tempoh 50 tahun pertama manakala 39 peratus berpendapat ia mencapai kejayaan yang kecil.
Rakyat Indonesia dan Myanmar lebih cenderung melihat ASEAN sebagai kejayaan besar (65 peratus) manakala warga Singapura yang paling kurang (hanya 26 peratus).
Sebanyak 54 peratus daripada responden berasakan ASEAN sebagai pertubuhan ekonomi manakala 20 peratus melihatnya sebagai pertubuhan politik.
Penduduk Asia Tenggara, dalam memberi gambaran mengenai ASEAN, lebih cenderung menggunakan perkataan ‘harap’ (63 peratus) berbanding ‘percaya’ (49 peratus) atau ‘sedia’ (33 peratus).
Hanya 26 peratus percaya ASEAN perlu meneruskan kadar semasa pembangunannya pada masa akan datang, manakala 53 peratus menyatakan ia perlu bergerak ‘cepat sedikit hari ini’ dan 21 peratus menyatakan ia perlu bergerak ‘lebih cepat berbanding hari ini’.
Sebanyak 88 peratus akan menyokong integrasi ekonomi sepenuhnya antara negaranegara ASEAN manakala 68 peratus akan menyokong mata wang serantau pada masa akan datang.
“Dapatan menunjukkan persepsi sering berbeza antara negara-negara Asia Tenggara mengenai topik dan isu tertentu berkaitan ASEAN,” kata Pemilik dan Pengarah Urusan Blackbox David Black.
“Ini mencerminkan kepelbagaian di rantau ini. Bagaimanapun, jelas Asia Tenggara teguh di belakang ASEAN dan mahu melihat lebih daripada itu.
“Dapatan turut menunjukkan walaupun selepas 50 tahun, ASEAN masih dilihat lebih dari segi potensinya dan apa yang ia janjikan berbanding pencapaian tertentu,” katanya.
Walaupun penduduk Asia Tenggara sebahagian besarnya positif mengenai keduadua negara tersebut, ia empat kali ganda lebih cenderung untuk melihat hubungan yang kukuh dengan China sebagai kunci kepada keutamaan ASEAN berbanding AS (17 peratus kepada empat peratus). — Bernama