RM223 juta dilulus bangun pertanian
KUCHING: Kerajaan negeri meluluskan sejumlah RM223 juta bagi pembangunan sektor pertanian di bawah Bajet Negeri 2018.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peruntukan ini ditambah dengan peruntukan persekutuan pada jumlah dibincang kemudiaan dengan kementerian persekutuan berkenaan.
Peruntukan diluluskan ini akan digunakan membantu dan memperbaiki kehidupan petani, penternak dan nelayan dalam negeri.
“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri atas sokongan dan pemahaman dengan memperuntuk dana bagi kementerian meneruskan usaha membangun dan transformasi sektor pertanian pada 2018.
“Kami yakin bahawa pelaksanaan dan penyelesaian program dan projek akan membantu memodenkan dan mengkomersialkan sektor pertanian negeri,” katanya.
Uggah juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi kementerian berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Tambah Uggah, kerajaan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk melaksanakan pelbagai program dan projek dibawah Bidang Keberhasilan Utama (KRA) 2 ke atas pemodenan dan pengkomersialan sektor pertanian di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Transformasi Ekonomi Sosial (CABCOM on SET).
“Terdapat lima program dan projek utama dibangunkan menerusi Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dibawah SET.
“Program dan projek ini adalah pembangunan tanaman, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC), infrastruktur ladang, integrasi lembu dengan perladangan kelapa sawit dan sarang burung yang boleh dimakan,” tambahnya.
Sejumlah RM20 juta telah diluluskan bagi pembinaan 204 projek infrastruktur ladang yang memanfaatkan 3,900 keluarga ladang.
Setakat ini, sebanyak 49 projek telah disiapkan manakala 155 projek lagi masih dalam kemajuan dan dijangka siap pada hujung tahun.