32 sukarelawan UMW Toyota bantu mangsa banjir di Pulau Pinang
KUCHING: Sekumpulan 32 sukarelawan dari UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengunjungi kawasan terkesan banjir di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang untuk menghulurkan bantuan.
Pekerja dari ibu pejabat syarikat di Shah Alam mengambil inisiatif menggerakkan usaha penghantaran makanan kering, barangan dapur, tuala, selimut dan lain-lain keperluan kepada mangsa-mangsa di pusat-pusat pemindahan sementara.
UMWT bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan ( NADMA) dan dua pusat pemindahan di Seberang Prai Utara dipilih atas faktor kepadatan mangsa- mangsa terlibat.
Sukarelawan terlibat mengagihkan kotak bekalan makanan kepada 220 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan ( SK) Padang Menora dan Sekolah Agama Rakyat Labuh Banting.
Sebanyak 10 kenderaan Toyota termasuk Hilux dan Fortuner digunakan untuk tujuan operasi logistik pada aktiviti itu.
Pada masa sama, syarikat itu turut menyediakan bantuan kepada 20 pekerjanya di Pulau Pinang turut terkesan banjir.
Di bawah program kebajikan dalaman UMWT, pekerja- pekerja terlibat diberikan bantuan tunai segera dan kotak bekalan makanan bagi meringankan beban keperluan harian mereka.
Bantuan banjir itu serta kempen servis diumumkan sebelum ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMWT tidak hanya prihatin terhadap mangsa banjir serta pelanggan tetapi pekerja-pekerja syarikat itu sendiri.
“Kami sangat terharu melihat beberapa organisasi, kumpulan sukarela dan NGO berganding bahu tanpa mengira latar bangsa atau agama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Kami turut menggalakkan staf-staf UMWT ikut serta dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir, tidak hanya menyalurkan barangan tetapi membantu mereka kembali kepada suasana hidup asal,” kata Presiden UMWT, K Ravindran.
Usaha bantuan banjir itu, UMWT menjalankan Kempen Servis Bantuan Banjir di pusat-pusat jualan Toyota untuk pemilik kenderaan jenama itu membaiki kenderaan rosak akibat banjir.
Perkhidmatan menunda dari kawasan banjir, penilaian kerosakan, cucian bahagian luaran dan dalaman disediakan secara percuma dan potongan harga 25 peratus bagi kos baik pulih ditawarkan kepada pemilik kenderaan Toyota di bawah program ini.
“Komitmen kami untuk berkhidmat kepada masyarakat dan pelanggan kekal menjadi keutamaan.
“Kami berharap dengan menawarkan pakej Bantuan Banjir Toyota ini dapat meringankan beban pemilik kenderaan Toyota terlibat dengan kejadian banjir.
“Kami berharap keadaan pulih seperti sedia kala secepat mungkin dan kami sentiasa bersama pelanggan dan mereka terlibat pada waktu-waktu sukar ini,” kata Ravindran.
Pemilik-pemilik kenderaan Toyota mengalami kerosakan akibat banjir boleh mengunjungi mana-mana pusat servis UMW Toyota atau menelefon talian bebas tol 1-800-8-869682 (1-800-8TOYOTA).
Layari toyota.com.my untuk maklumat lanjut. Tertakluk kepada terma dan syarat.