Raja Muda pelawa pelabur Jepun melabur di Perlis
TOKYO: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa ahli perniagaan Jepun melabur di Perlis yang menawarkan pelbagai insentif menarik serta kestabilan politik bagi menjamin pelaburan mereka.
Baginda bertitah, antara insentif tersebut adalah harga tanah perindustrian yang menarik, tanah boleh dibeli dan dicagar, pengurangan cukai tanah bagi tempoh tertentu selain menikmati insentif yang disediakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.
Perlis menawarkan potensi besar memandangkan kos menjalankan perniagaan di negeri itu tidak tinggi selain harga rumah berpatutan, ketersediaan modal insan terlatih dan lokasinya yang strategik kerana terletak di kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand, titah baginda kepada pemberita sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada petang Jumaat.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, selain itu jaringan Lebuhraya Utara Selatan boleh diakses melalui Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis dan perkhidmatan kereta api dari Padang Besar ke Pelabuhan Pulau Pinang yang mengambil masa 45 minit sahaja bagi penghantaran kargo akan menjimatkan kos.
Terdahulu, baginda melancarkan promosi masakan Perlis di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.
Promosi itu merupakan anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang mendapat kerjasama Yayasan Tuaku Fauziah (YTF), Halal Japan Corporation (HJC) dan Enertech Supplies & Service Sdn Bhd ( Enertech) serta pejabat Kedutaan Malaysia di Tokyo.
Baginda pernah melancarkan promosi yang sama di Restoran Malay Cuisine di Tokyo tahun lepas dan di Osaka sebelum itu untuk memperkenalkan Perlis kepada dunia.
Tuanku Syed Faizuddin berada di ibu negara matahari terbit ini untuk menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Enertech dan HJC pada Jumaat. — Bernama