Fadillah adakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Jambatan Batang Samarahan
KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof semalam mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Jambatan Batang Samarahan di Kota Samarahan dekat sini.
Lawatan tersebut adalah bagi melihat sendiri perkembangan kerja- kerja pembinaan jambatan sepanjang 774 meter dengan nilai RM93 juta itu.
“Berdasarkan laporan atas kertas setakat ini, projek ini berjalan dengan agak lancar tetapi kita di kementerian mahu melihat sendiri pelaksanaan projek ini,” katanya yang meluangkan masa kirakira 15 minit di tapak pembinaan jambatan tersebut.
Turut bersama beliau pada lawatan tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Zohari Akob serta pegawai-pegawai dan jurutera kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Dalam pada itu, jambatan ini dijangka akan dibuka pada Jun 2018 sebagai laluan penghubung utama kepada kira-kira 30,000 penduduk dari kawasan Samarahan dan Asajaya.
Sebaik jambatan ini siap nanti, ia akan memendekkan jarak dan tempoh perjalanan pengguna dari Kuching ke Asajaya kepada sekurangkurangnya 30 minit.
Pada masa ini, penduduk dan orang ramai perlu melalui perjalanan agak jauh iaitu lebih 90 kilometer (km) antara Kuching dengan Asajaya.
Malah pengguna juga perlu menggunakan perkhidmatan feri serta jalan darat melalui Universiti Teknologi MARA ( UiTM) Samarahan.
Jambatan sepanjang 774 meter merentangi Batang Samarahan menghubungkan Kampung Baru dengan Kampung Tambey ini bakal melengkapi perhubungan jalan pesisir di negeri ini.
Ini merupakan jambatan yang kedua menghubungkan jalan pesisir selepas Jambatan Batang Sadong yang sudah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai tahun lepas.