Real, Atletico Madrid tercicir 10 mata di belakang Barca
MADRID, Sepanyol: Real Madrid dan Atletico Madrid tercicir 10 mata di belakang pendahulu La Liga Sepanyol, Barcelona selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan di Stadium Wanda Metropolitano Sabtu lepas.
Pada perlawanan awal, Barcelona juga tidak beraksi di tahap terbaik tetapi dua gol Luis Suarez memastikan beliau menamatkan kemarau gol sebelum Paulinho menjaringkan gol lewat untuk kemenangan 3-0 ke atas Leganes.
Dua kelab berjiran Madrid, Real dan Atletico, juga hambar di jentera serangan musim ini tetapi Atletico mensia-siakan peluang terbaik apabila rembatan Angel Correa tersasar seawal minit ketiga.
“Kami kurang gol, selain dari itu, saya bersimpati dengan pemain kerana mereka selayaknya mendapat yang lebih bagus lagi,” kata jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane.
“Sepuluh mata (di belakang Barca) adalah sangat banyak tetapi kami akan bangkit kerana Barca tidak akan sentiasa menang dan kami akan berusaha melakukan yang terbaik.”
Selepas permulaan baik dari pasukan tuan rumah, peluang pertama Real hadir dari satu serangan pantas tetapi Juanfran berjaya memintas Cristiano Ronaldo ketika mengejar umpanan Luka Modric.
“Pada 25 minit pertama, anda melihat pasukan yang kami hadapi adalah pasukan terbaik di dunia, yang perlu menang selepas Barca mencipta kemenangan,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.
“Kami juga sukar menjaringkan gol. Jika Correa menyempurnakan peluang, permainan akan berubah sepenuhnya.”
Jurulatih Barca, Ernesto Valverde mengakui kemenangan 3-0 mengharukan ketika pasukannya turut berterima kasih kepada penjaga gol Marc-Andre ter Stegen yang beraksi cemerlang.
“Apa yang penting ialah kemenangan,” kata Suarez.
“Kami sentiasa cuba bermain di tahap terbaik pada setiap perlawanan tetapi kadang-kadang ia sukar.”
Permainan memberangsangkan Leganes pada 30 minit pertama tersentak dengan kesilapan penjaga gol membolehkan Suarez membuka jaringan untuk gol pertama beliau dalam tempoh sebulan.
“Saya tidak gelisah. Apa yang penting ialah berasa gembira sekali lagi dan membantu pasukan dengan gol saya,” tambah Suarez. — AFP BERLIN, Jerman: Robert Lewandowski menjaringkan gol ke- 17 beliau untuk Bayern Munich musim ini apabila menjaringkan dua gol untuk membolehkan pendahulu Bundesliga Jerman itu berkelebihan enam mata selepas menewaskan Augsburg 3- 0 Sabtu lepas.
Lewandowski mengesahkan status beliau sebagai penjaring terbanyak liga dengan menjaringkan gol dalam kedua- dua babak permainan di Munich – untuk gol liga ke- 13 dari 12 perlawanan liga musim ini.
Bayern kelihatan menyerlah dengan Lewandowski menunjukkan penyudah hebat selepas Arturo Vidal membuka jaringan pada minit ke- 31.
“Dalam separuh masa pertama, kami tidak banyak bergerak di jentera serangan dan kerana itu kami tidak mempunyai banyak peluang,” kata Lewandowski.
“Namun, kami terus bermain dengan sabar dan selepas gol pertama, ia menjadi lebih mudah.”
Kemenangan itu adalah persediaan untuk perlawanan Liga Juara- Juara menentang Anderlecht Rabu ini dan Bayern menjarakkan diri dari pencabar terdekat mereka dalam liga, RB Leipzig, yang seri 2- 2 dengan Bayer Leverkusen.
Pada perlawanan lain, Borussia Moenchengladbach menewaskan Hertha Berlin 4- 2 untuk naik ke tangga ketiga liga.
Gladbach mendahului 3-0 seawal minit ke-20 menerusi gol Lars Stindl, Thorgan Hazard dan Raffael sebelum Vedad Ibisevic merapatkan kedudukan buat Hertha.
Mitchell Weiser menjadikan kedudukan 3- 2 tetapi Raffael menamatkan sebarang kebangkitan Hertha dengan gol keempat perlawanan ketika berbaki 13 minit permainan.
Hoffenheim seri 1- 1 dengan Eintracht Frankfurt untuk berada di tangga keempat liga sementara Cologne kekal di tangga tercorot selepas tewas 0- 1 di Mainz.
Wolfsburg mengekalkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah apabila menewaskan Freiburg 3- 1. — AFP