Emery puas hati dengan prestasi Mbappe
PARIS, Perancis: Jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Unai Emery berpuas hati dengan prestasi Kylian Mbappe di kelabnya ketika pemain remaja itu membuat persediaan untuk perlawanan menentang bekas kelabnya, Monaco dalam aksi Ligue 1 Perancis hari ini.
“Ia pastinya menarik untuk beliau kembali ke Monaco. Beliau gembira dengan sumbangannya bersama Monaco dan begitu juga Monaco dan juga keuntungan dari perpindahannya (ke PSG),” kata Emery.
“Ahad ini pastinya istimewa untuk beliau tetapi beliau memberikan sepenuh fokus kepada PSG.”
Mbappe, yang mencecah usia 19 tahun bulan hadapan, berpindah ke PSG untuk kontrak pinjaman pada bulan Ogos lalu sebelum perpindahan tetap musim hadapan dengan yuran sekitar 180 juta euro.
Beliau menjaringkan empat gol dalam liga setakat ini dan turut beraksi dengan memberangsangkan dalam Liga Juara-Juara selain turut menjaringkan gol ketika membelasah Celtic 7-1.
Tetapi beliau jelas dibayangi aksi cemerlang Edinson Cavani, yang sudah menjaringkan 21 gol dalam semua pertandingan selain perhatian diberikan kepada pemain termahal dunia, Neymar.
“Tahun ini, beliau menentang banyak pasukan yang bermain secara bertahan. Beliau tidak mempunyai banyak ruang. Beliau perlu belajar untuk bermain dalam ruang yang sempit untuk mencari peluang tetapi beliau bermain dan berkem- bang dengan baik,” tambah Emery.
PSG bertandang ke Monaco dengan rekod masih belum tewas musim ini dan dengan peluang menjarakkan kedudukan dengan kelebihan sembilan mata berbanding Monaco, yang berada di tangga kedua.
Ketika PSG berada dalam prestasi yang baik, Monaco mahu bangkit selepas tewas 1-4 kepada RB Leipzig dalam Liga Juara- Juara, sekali gus menyaksikan mereka tersingkir dari kejohanan di Eropah. — AFP