Utusan Borneo (Sarawak)

Program ‘My Best Buy’ wajar diperluas ke setiap DUN

-

SUNGAI PETANI: Program ‘My Best Buy’ yang menawarkan barangan segar dengan harga lebih murah antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran wajar diperluask­an di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dalam usaha membantu masyarakat mendapatka­n barangan itu pada harga lebih murah.

Ahli Dewan Undangan Negara Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata program yang dilaksanak­an Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) itu sedikit sebanyak dapat meringanka­n beban penduduk luar bandar mahupun bandar dalam menghadapi peningkata­n kos sara hidup pada masa ini.

“Saya juga ingin menyaranka­n agar program My Best Buy ini dapat diperluask­an lagi, setiap DUN ada satu lokasinya dengan pelaksanaa­n seminggu sekali sebagai contoh,” katanya kepada pemberita selepas melancarka­n program itu di Pusat Operasi Fama Bakar Arang dekat sini semalam.

Untuk rekod, program yang menjual pelbagai hasil pertanian, perikanan dan penternaka­n serta produk usahawan tempatan berkenaan dianjurkan sehari sahaja bermula jam 7 pagi hingga 3 petang mengikut permintaan di lokasi berbeza.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah FAMA Mansor Omar berkata pihaknya menyambut baik saranan itu dengan sedia bekerjasam­a sekiranya ada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun pihak berkuasa tempatan yang berminat untuk bersama-sama menganjurk­an program sedemikian di tempat masing-masing.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 147 lokasi penganjura­n program itu di seluruh negara dengan kekerapan penganjura­nnya tahun ini lebih kurang 1,200 kali termasuk 50 lokasi di institusi pengajian tinggi (IPT) awam, kolej komuniti dan politeknik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia