Pengurusan F1 cadangkan langkah keselamatan baharu di Brazil
PARIS, Perancis: Pengurusan Formula Satu ( F1) mencadangkan langkah keselamatan baharu untuk perlumbaan Grand Prix Brazil selepas kakitangan pasukan bertanding dirompak dengan diacukan pistol ketika meninggalkan litar bulan lepas.
Persekutuan Automobil Antarabangsa ( FIA) berkata dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Sukan Bermotor Dunia (WMSC) di Paris Rabu lepas di mana pemegang hak komersial F1 telah membuat cadangan ekoran satu laporan insiden di Interlagos.
Ia mencadangkan promoter perlumbaan mengambil semula pakar keselamatan bebas untuk menilai dan memberi nasihat mengenai langkah- langkah keselamatan, dengan satu hab laporan polis di litar dan juga meningkatkan komunikasi di antara semua pihak.
“M a j l i s D u n i a ( WMSC) mencadangkan promoter untuk melaksanakan semua cadangan ini dan meningkatkan situasi menjelang perlumbaan tahun hadapan,” tambah FIA.
“FIA akan menawarkan untuk menyertai perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan dan memantau situasi dengan lebih dekat.”
Kakitangan pasukan Mercedes, juara dunia kategori pengeluar, adalah mereka yang terlibat dalam insiden di Interlagos, dengan tembakan dilepaskan dan pistol diacukan di kepala salah seorang kakitangan yang menaiki sebuah van di luar litar.
Barang berharga termasuk pasport dan telefon pintar telah dicuri.
Pekerja pembekal tayar F1, Pirelli, juga menjadi sasaran selepas perlumbaan, menyebabkan pembatalan dua hari sesi ujian tayar bersama McLaren. — Reuters